Wanita Disahkan Hidap Kanser Ovari Dua Bulan Lepas Cerai… Anak Kedua Terlantar, Si Bongsu Jantung Berlubang

Menjadi seorang ibu tunggal bukanlah sesuatu yang mudah. Selain terpaksa berpisah dengan suami, tekanan yang dihadapi selepas itu turut menjadi punca gangguan emosi.

Situasi akan menjadi bertambah runcing apabila si ibu terpaksa membesarkan anak-anak tanpa bantuan suami.

Lagi-lagi jika mempunyai anak yang berpenyakit kronik di mana memerlukan lebih penjagaan dan perhatian.

Demikianlah cabaran hidup yang dialami oleh wanita bernama Shahani, 44 yang kini membesarkan tiga orang anak bersendirian.

Selepas diuji dengan kegagalan rumah tangga, dia dikhabarkan menghidap kanser ovari selepas dua bulan bercerai.

Sejurus mendapat perkhabaran duka tersebut, dia terus terbayangkan nasib tiga orang anak yang masih di bawah jagaannya.

Menurut aktivis kebajikan dan masyarakat, Natipah Abu, ovari Shahani terpaksa dibuang melalui pembedahan, seterusnya menjalankan sesi kimoterapi sebanyak enam pusingan.

Sudah jatuh ditimpa tangga, Shahani sekali lagi menerima berita sedih apabila anak keduanya Muhammad Danish Hakim, 17, ditimpa kemalangan jalan raya enam bulan lalu.

“Anak saya yang menunggang motosikal telah dirempuh oleh sebuah lori ais ketika melintas jalan ketika hendak ke padang bola.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, tempurung kepala kanannya terpaksa dibuang dan terdapat beberapa sarafnya yang tidak lagi normal.

“Sehingga sekarang anak saya masih terlantar. Hanya minum susu khas melalui tiub yang ditebuk di bahagian perut. Lehernya juga ditebuk untuk membantu pernafasan.

“Sejak itu saya kembali bangkit melawan semua perasaan. Saya harus kuat dan tabah demi anak-anak. Saya lupa terus tentang penderitaan jiwa dan raga yang saya tanggung akibat penceraian dan kanser,” luah Shahani di mana perkongsiannya ini dikongsikan semula di Facebook oleh Natipah.

Dalam pada itu, Shahani juga perlu berulang alik ke hospital menjaga anak keduanya yang terlantar berusia 16 tahun akibat penyakit jantung berlubang sejak lahir.

“Setiap tahun, kami akan menjalani pemeriksaan dan scan jantung untuk perkembangan terkini. Terbaru hospital beri tarikh untuk anak saya menjalani satu lagi pembedahan pada 23 Jun ini,” katanya.

Shahani yang menetap di Sungai Petani, Kedah berkata, kekangan yang dialami membuatkan dia tidak dapat keluar bekerja untuk menjana pendapatan.

“Alhamdulillah saya ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat kerana saya tiada pendapatan yang lain.

“Buat masa ini, keperluan saya yang utama ialah lampin pakai buang anak saya dan susu khasnya yang terlalu mahal. Sedangkan pada masa sama, saya masih perlu menanggung dua anak yang masih belajar,” katanya sambil menambah anak sulungnya yang kini berusia 19 tahun sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Bagi meringankan beban Shahani, Natipah menggerakkan inisiatif Sedekah Jumaat.

“Kita mensasarkan RM5,000 dengan niat membeli lampin pakai buang dan susu khas Muhammad Danish Hakim. Semoga dengan sumbangan kita ini akan meringankan bebanan Puan Shanani dalam menempuh ujian yang mendatanginya,” tulis Natipah.

Perkongsian yang tular di laman Facebook