“Oyen nak bawak ke mana tu..” Wanita Berlari Bawa Kucing Ketika ‘Live’ Kongsi Kisah Sebenar

Baru-baru ini tular di media sosial satu video menampilkan seorang wanita berbaju putih tiba-tiba muncul dalam rakaman berita sambil mengendong kucing berwarna oren.Video itu sempat dirakam oleh seorang pengguna Twitter, lalu ianya telahpun dimuat naik. Tanpa disangka video itu sudah menjadi tontonan ribuan orang.Namun disebalik kelucuan video itu, ada beberapa individu yang menanyakan, adakah wanita [...]

Beberapa hari lepas, tular di media sosial satu video menunjukkan seorang wanita berbaju putih tiba-tiba muncul dalam satu klip rakaman berita sambil membawa kucing berwarna oren.

Video tersebut sempat dirakam oleh seorang pengguna Twitter, lalu ianya telahpun dimuat naik.

Tanpa disangka video itu sudah menjadi viral dan sudah ditonton oleh ribuan orang.

Namun disebalik kelucuan video itu, ada beberapa individu yang menanyakan, adakah wanita itu kutip kucing jalanan dan membelanya?

Menerusi laporan dari News Strait Times, Mayamin Husna Hisham iaitu wanita tersebut mengesahkan dirinya adalah pemilik kucing berwarna oren tersebut.

Menurutnya, kucing itu bernama Neski dan ketika waktu itu, kucing tersebut dikatakan telah membuang air besar di dalam keretanya.

Kerana bajunya putih, dia terpaksa membawa kucing tersebut seperti itu. Menurutnya ketika itu dia dalam perjalanan ke rumah ibunya di Sabak Bernam.

“Ketika itu saya tumpang kereta keluarga kawan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Sabak Bernam. Kucing yang saya pegang tu milik saya, dibela sejak setahun lalu.

“Saya jumpa kucing tu di luar kafe siber dan saya namakannya Neski sempena nama kafe siber tu. Saya bawa Neski dan dua anaknya untuk balik ke kampung,” kata Mayamin atau lebih mesra dengan panggilan Maya.

“Mula-mula saya bersihkan sangkar dulu menggunakan kemudahan air di kawasan anjung sebelum saya bersihkan Neski pula.

“Lepas bersihkan Neski tu, saya nampak ramai abang-abang polis dan tentera buat pemantauan. Tiba-tiba saya jadi takut sebab fikir adakah saya buat salah ke.

“Sebab tu dalam rakaman tu nampak saya berlari-lari anak sebab saya rasa neves ada kehadiran anggota polis dan tentera, dan pada masa sama tak nak kucing yang baru dibersihkan tu kena pada baju putih saya,” ujar anak ketiga daripada empat beradik itu.

“Masa tu memang saya dengan mak duduk depan TV, tapi saya leka tengok telefon. Tiba-tiba mak kata ‘Eh tu macam kamu je’. Bila saya tengok siaran berita, rakaman dah berubah jadi tak nampak pun imej saya tu.

“Saya hanya sedar apabila klip rakaman tersebut dikongsikan di media sosial dan menjadi tular. Bila tengok diri sendiri lari terkedek-kedek rasa kelakar. Apapun, itu kucing saya ya, bukan lari sebab saya curi kucing,” katanya.

Maya yang bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur bagaimanapun mengakui agak gementar melihat kehadiran ramai anggota polis dan tentera ketika itu.

“Tak tahu kenapa, bukannya saya buat salah pun. Tapi bila tengok ada ramai polis dan tentera, saya jadi cemas… Sebenarnya dari dulu pun macam tu.

“Walaupun bukan saya yang memandu kerana belum ada lesan memandu, setiap kali ada roadblock (sekatan jalan raya) yang dibuat oleh pihak polis… saya akan pura-pura tidur sebab nak hilangkan rasa takut tu,” ujarnya secara berseloroh.

Sementara itu, lihat di ruangan komen rata-rata netizen terhibur dengan kejadian tersebut. Malah ianya turut mencuri perhatian YB Syed Saddiq.