[VIDEO] Walau Gempabumi 3 Nurse Sanggup Abaikan Keselamatan Diri Demi Bayi Baru Lahir

Satu kejadian gempabumi yang agak kuat telah melanda wilayah Hualien di Taiwan pada 18 April yang lepas.

Keadaan tersebut menyebabkan ramai penduduk berasa panik dan lari untuk mendapatkan perlindungan.

Boleh dikatakan semua penduduk telah bergegas ke luar rumah, bangunan serta stesen kereta api dan mencari tempat perlindungan yang lebih selamat.

Namun, di dalam saat yang mendebarkan itu, sekumpulan jururawat sanggup mengabaikan keselamatan diri mereka demi melindungi bayi-bayi yang baru saja dilahirkan.

Menerusi satu rakaman CCTV yang dimuatnaik di laman media sosial menjadi viral apabila ia memperlihatkan keberanian 3 orang jururawat sedang melindungi kesemua bayi dalam jagaan mereka.

Berdasarkan maklumat daripada sumber, rakaman video itu diambil di sebuah pusat kelahiran dan perbidanan di Hualien, Taiwan.

Jelas dapat dilihat bahawa pusat itu terasa gegaran yang kuat kerana beberapa katil bayi yang baru dilahirkan dilihat sedang bergerak-gerak di tempat sendiri.

Namun, salah seorang daripada tiga jururawat itu kemudiannya dilihat dengan pantas merangkul erat dua buah katil bayi yang paling terdekat sambil menenangkan bayi yang sedang menangis kerana terkejut.

Manakala dua orang jururawat yang berada di belakang sedang memeluk dengan erat bayi yang berada dalam dakapan mereka.

Kemudian dengan segera mereka semua bergegas keluar untuk menyelamatkan bayi-bayi lain.

Tanpa terlintas langsung rasa takut di hati mereka untuk menyelamatkan diri sendiri, kesemua jururawat itu telah mengabaikan keselamatan diri dengan terus berdiri teguh melindungi kesemua bayi yang baru dilahirkan.

Malah, jururawat ini juga dilihat terus membongkok di atas katil bayi supaya mereka boleh menggunakan badan sendiri untuk melindungi bayi secara fizikal sekiranya terdapat serpihan yang jatuh ke atas mereka.

Video Jururawat Selamatkan Bayi

Rakaman video itu telah menjadi viral dan mendapat pujian dari semua netizen yang menontonnya.

Semoga mereka semua sentiasa dilindungi dan diberikan ganjaran setimpal dengan apa yang mereka telah lakukan.