[VIDEO] Tun M Drive Tinjau Selepas Perhimpunan anti-ICERD, Ucap Terima Kasih 1Juta Peserta anti-ICERD

Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan tinjauan keadaan di sekitar ibu negara selepas berakhir perhimpunan #DaulatHimpunan812 petang semalam, lapor Utusan.

Rakaman video Perdana Menteri memandu kenderaan jenama Proton di sekitar ibu negara dikongsikan seorang penulis blog, Firdaus Abdullah di dalam laman Twitter beliau.

“Perdana Menteri memandu di pusat bandaraya Kuala Lumpur untuk melihat sendiri keadaan di ibu kota selepas perhimpunan anti-ICERD,” katanya.

Rakaman berdurasi seminit itu menunjukkan Dr. Mahathir memandu di sekitar Jalan Sultan Ismail berhampiran Bukit Bintang, tidak jauh daripada Dataran Merdeka iaitu lokasi himpunan.

Dalam pada itu, Tun Mahathir secara sinis mengucapkan terima kasih kepada peserta yang hadir ke himpunan kesyukuran atas keputusan kerajaan menolak ratifikasi ICERD.

“Perhimpunan hari ini telah dihadiri oleh satu juta orang dan saya ucap terima kasih kepada mereka kerana mereka berkumpul untuk kesyukuran.

“Satu juta orang, terima kasihlah,” katanya sambil tersenyum sinis dan menambah beliau telah bersyukur dengan keputusan baik yang dibuatnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada Sabtu.

Tun juga memaklumkan beliau tidak akan menyertai sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Beliau berkata, ini kerana beliau berbeza pendirian dengan Suhakam dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

“Saya sudah putuskan kita tidak akan menerima Icerd (tetapi) Suhakam mahu terima Icerd, jadi macam mana saya nak pergi (sambutan itu)?” soalnya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.

Sambutan Suhakam itu pada asalnya dijadual hari ini – bersempena dengan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa pada 10 Disember – tetapi ditangguh esok atas sebab keselamatan.

Seperti yang dijelaskan Mahathir, sambutan itu – jika diteruskan – akan berlangsung serentak dengan himpunan kesyukuran Icerd.

“Jika ada dua himpunan pada masa sama, polis terpaksa membahagikan anggotanya.

“Kita bimbang himpunan akan tarik ramai orang dan perlukan ramai anggota polis, sebab itu kita minta (Suhakam) tangguh ke hari lain. Bukan kerana kami halang demonstrasi,” katanya lagi.