Ribuan orang membanjiri jalan-jalan di Kuala Lumpur hari ini sebagai tanda kesyukuran keputusan kerajaan untuk tidak mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), lapor Malaysiakini.

Perhimpunan ini anjuran NGO Melayu Islam dan disokong oleh Umno dan PAS.

Mereka yang hadir berkumpul di tiga lokasi – pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara. Mereka akan berarak ke Dataran Merdeka.

Himpunan itu akan bermula pada jam 2 petang ini dan dijangka selesai pada jam 6 petang.

Laporan LANGSUNG:

4.50pm, Jalan Raja: Anggota Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh menutup perhimpunan petang ini dengan membacakan doa. antara lain supaya kerajaan Pakatan Harapan “pendek umur”.

Ya Allah, pendekkanlah umur kerajaan pakatan harapan ini, ya Allah,” katanya di atas pentas dan dalam hujan sederhana.

Beliau juga berdoa agar pengundi muda yang memberi undi PH sebelum ini supaya “kembali ke pangkal jalan”.

“Jadikanlah anak-anak muda yang memberi undi kepad PH supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

“Jadikan mereka juga yang akan menjatuhkan kerajaan yang mereka pilih (semasa PRU lalu),” katanya.

((LIVE))HIMPUNAN AMAN RAKYATBANTAH ICERD 8.12.18

Posted by 1Media on Jumaat, 7 Disember 2018

Presiden PAS Abdul Hadi Awang meneruskan ucapan penuh bersemangat sambil sesekali disambut dengan laungan takbir oleh orang ramai.

Beliau menyampaikan ucapan sambil dipayung Anggota Jawatankuasa Pusat PAS yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad.

Ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dihentikan seketika untuk memberi ruang kepada Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengalunkan azan Asar.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim menganggarkan jumlah kehadiran di himpunan petang ini kira-kira 55,000 orang.

Mengikut anggaran Malaysiakini pula pada detik kemuncak dianggarkan ada kira-kira 80,000 orang hadir di himpunan ini.

Bagaimanapun jumlah itu berkurangan sedikit apabila cuaca mula mendung.

Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dalam ucapannya mendakwa ada 500,000 orang hadir.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jika kerajaan berdolak-dalik dalam isu Icerd mereka akan mengadakan himpunan lain. Kali ini katanya ia akan diadakan di Putrajaya.

Menurutnya orang Melayu dan Islam berkumpul pada hari ini untuk memberi amaran supaya tiada mana-mana pihak mengganggu gugat kestabilan dan keharmonian negara.

“Kepada anak muda, kita berhimpun pada hari ini demi masa depan kita, kita berpanans demi anak cucu kita, kita berletih kerana agama dan generasi masa datang,” katanya.

4pm, Jalan Raja: Kelihatan awan bertukar kelabu di sekitar kawasan termpat perhimpunan diadakan menandakan kemungkinan akan hujan.

Sejak beberapa hari lalu kawasan Lembah Kelang mengalami hujan hampir setiap hari.

Pada masa sama Unit Amal PAS kelihatan membawa beg plastik memungut sampah bagi memastikan kebersihan terjaga.

3.45pm, Jalan Raja: Anggota Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengutuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang didakwanya cuba mencabuli kemerdekaan negara ini.

Go to hell with United Nation (pergi jahanam PBB)!” katanya yang memang sering berbahasa Inggeris termasuk ketika di Dewan Rakyat.

Kata Tajuddin pihak luar mahu memaksa Malaysia menerima Icerd supaya dengan itu mereka boleh mengenakan syarat-syarat bagi menentukan bagaimana rakyat negara ini perlu hidup.

“Mereka nak kuasai sosisal kita, budaya kita, minda kita dan politik kita,” katanya.

3.05pm, Jalan Raja: Ribuan masih berusaha untuk sampai ke Jalan Raja. Ini menyebabkan berlaku kekecohan apabila sebahagian peserta termasuk mereka yang membawa anak-anak cuba meninggalkan kawasan itu kerana kesesakan.

Petugas perubatan dilihat membawa beberapa peserta himpunan yang pengsan.

Pemimpin politik dari Umno, PAS dan pemimpin NGO sedang berusaha untuk sampai ke pentas sementara.

 

"Your favorite story, whatever it might be, was written for one reader." Brian Bloom, 5 to 7.