[VIDEO] Tak Sensitif Isu Warna Kulit, Syatilla Melvin Mohon Maaf

Akhirnya setelah menerima kecaman daripada netizen yang mempersoalkan tindakannya mempromosikan produk tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat, pelakon dan usahawan terkenal, Syatilla Melvin, 30, hari ini tampil memohon maaf.

Menerusi satu muatnaik video dalam akaun Instagramnya, isteri pelakon Shaheizy Sam ini mengaku tidak berniat untuk membuatkan sesiapa berasa tersinggung ketika beraksi di hadapan kamera kelmarin.

“Tak nak buang masa, terus nak minta maaf kepada anda semua yang terasa hati dengan saya. Ya Allah, Ya Tuhanku, sejujurnya, demi Allah saya tiada niat apa-apa langsung.

“Video itu hanya ingin menunjukkan perempuan yang tak pandai pakai penggaris mata sahaja.Perempuan yang pernah alami perkara atau situasi itu, mungkin mereka faham.

“Mungkin salah saya juga kerana terlepas pandang sensitiviti sesetengah pihak. Saya harap anda maafkan,” katanya dalam satu video baharu pada hari ini.

Semalam, Syatilla memuat naik sebuah video aksinya melakukan transformasi kulit gelap bertukar menjadi cerah.

Menerusi video tersebut, dia dilihat menconteng wajahnya menjadi gelap sebelum kemudian bertukar cerah selepas menggunakan produk keluarannya.

Perbuatan tersebut dikatakan telah membuatkan ramai kalangan warganet dan peminatnya tidak senang kerana ia seakan menyindir golongan wanita yang berkulit gelap yang dikhuatiri boleh membawa kepada isu lain.

Hal itu juga telah menarik perhatian seorang selebriti media sosial, Nandini Balakrishnan yang membuat ciapan dalam Twitter meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Syatilla selain menyifatkan ada banyak cara lain lagi jika mahu mempromosikan bedak asas.

Dalam pada itu, menerusi video terbaru, dia juga menjelaskan telah memaafkan semua pihak yang mengecam dirinya ekoran video sensitif tersebut.

“Saya sudahkan maafkan anda semua. Kepada rakan-rakan wartawan, saya mohon maaf tidak dapat memberi respons sebab tak nak mengeruhkan keadaan,”katanya.