Majlis pertunangan tersebut hanya dihadiri kaum keluarga dan teman rapat. Ia diadakan secara sederhana atas permintaan kedua belah keluarga.

Majlis bermula selepas solat Asar menyaksikan pihak Aidil menghantar tiga dulang hantaran dan berbalas lima dulang daripada pihak Fasha.

Antara barangan yang dijadikan hantaran termasuklah sebentuk cincin pertunangan, manisan, set kelengkapan, wangian dan pakaian.

Fasha turut menerima sebentuk cincin tanda pertunangan oleh ibu Aidil iaitu Rokkiah Md. Noor sambil disaksikan oleh bapa Aidil, Abdul Aziz Ishak dan kaum keluarga yang datang dari Rembau.

Ibu Fasha, Hatijah Tehman turut hadir bersama kaum keluarganya bagi memeriahkan majlis pertunangan ini.

Menurut Fasha juga pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Skrin tahun lalu, majlis pertunangan tersebut sangat istimewa untuk dirinya secara peribadi kerana tidak pernah melalui fasa bertunang sebelum ini, meskipun pernah mendirikan rumah tangga.

“Saya berharap dapat lebih mengenali Aidil selepas pertunangan ini. Alhamdulillah saya bersyukur kerana Aidil dan keluarganya menerima saya dan anak-anak dengan baik sekali dan saya berharap pertunangan ini akan berkekalan sehingga ke perkahwinan,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar.

Tambah Fasha yang akan memulakan penggambaran Drama bersiri Semua Salahku TV3, status janda tidak pernah menghalang untuknya berkahwin semula asalkan lelaki yang bersamanya boleh menyayangi kedua anaknya dengan baik.

“Pak Ngah (panggilan manja) telah melamar saya pada 21 Jun lalu dan saya mengambil masa beberapa bulan untuk memikirkan tentang perkara ini. Saya sebenarnya khuatir dan dilema untuk menerima pada mulanya. Namun saya lihat kualiti yang ada pada Aidil. Dia juga cukup akrab dengan kedua anak saya dari sejak awal perkenalkan kepada mereka lagi.

“Saya tertarik kerana Aidil meletak usaha dan inisiatif untuk mendekati anak-anak saya dengan meluangkan masa dan bijak mengambil hati mereka berdua. Malah Aidil juga pandai menghormati kedua ibu bapa dan keluarga saya,” tambah Fasha lagi.

Fasha yang mula mengenali Aidil atau nama sebenarnya Mohd. Aidil Abdul Aziz, 31, akhir tahun lalu selepas sama terbabit dalam sebuah penggambaran sitkom bertajuk Mamu Mami Gosip.

Sejak itu, pasangan berkenaan mula akrab dan akhirnya tampil tanpa menafikan sebagai pasangan kekasih sekitar pertengahan tahun ini.

Aidil yang juga pengusaha perniagaan kecil mangga asam boi, Kingmangifera, menyifatkan perkenalan selama setahun bersama Fasha sudah cukup meyakinkan hatinya untuk menerima bintang terkenal itu sebagai tunangnya.

“Saya sukakan sifat keibuan yang ada pada Fasha dan dia selalu menghargai orang di sekelilingnya. Sifat sederhana yang ada pada Fasha membuatkan dia disayangi ramai termasuk saya dan keluarga.

“Bohong kalau saya katakan tiada yang persoal atau memandang pelik kerana siapa saya yang masih bertatih membina nama untuk memiliki hati Fasha yang cukup besar profilnya sebagai pelakon di Malaysia. Namun saya percaya soal jodoh ini bukan kerja kita dan jauh sekali untuk kita persoalkan. Sudah tertulis jodoh saya dengannya dan saya menerima baik ketentuan itu. Justeru persepsi negatif atau apa saja pandangan orang lain tak perlu saya fikirkan.

“Keutamaan saya sekarang adalah bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan diri bagi membina sebuah keluarga bersama Fasha dan dua anaknya kemudian hari bila kami berkahwin. Saya melihat tempoh bertunang ini adalah satu fasa persediaan saya untuk memimpin sebuah keluarga tak kira dari aspek ilmu agama, kewangan, mental dan juga percaturan akan datang.

“Insya-Allah saya tak nampak sebarang masalah kerana hubungan saya dan Fasha berlandaskan keikhlasan, rasa jujur antara satu sama lain dan sentiasa berkomunikasi dalam memperbaiki mana kurang dan salah. Alhamdulillah saya lihat ia satu perkembangan yang cukup baik untuk kami berdua sebelum berkahwin kelak,” katanya yang drama lakonannya, Cinta Lemon Madu dan Villa Ghazara kini ditayangkan di TV3.

Desas-desus pertunangan Fasha dan Aidil sebenarnya telah dapat dihidu media sejak beberapa hari lalu, namun Fasha mengambil sikap bertenang dan berjanji akan berkongsi khabar gembira tersebut apabila majlis telah selesai.

Aidil, 29, pula sebelum ini pernah melalui detik-detik kontroversi selepas ditahan selama dua bulan di penjara atas kesalahan berkaitan dadah hujung tahun 2016.

Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia 5 tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4.

Bagaimanapun, perkahwinan tersebut hanya bertahan selama empat tahun apabila Fasha sah bercerai talak satu dengan suaminya Jejai di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah pada Januari 2016.

Foto : Instagram Fasha Sandha