[VIDEO] “Siap muzik gamelan,” Gadis Terkejut Keluarga Buat Surprise Majlis Konvo

Satu video tular siap dengan pentas dan simbolik perasmian hingga ke alunan gamelan berkumandang, majlis yang diadakan di rumah ibarat istiadat konvokesyen di universiti.

Namun, ia adalah kejutan untuk seorang gadis yang menamatkan pengajiannya, dan kemudian memakai jubah konvokesyen seolah-olah berada di majlis sebenar.

Menerusi laporan mStar, bapa kepada gadis itu, Saadon Awang berkata, kejutan tersebut merupakan majlis untuk meraikan anak perempuannya, Ruhana Syakirah, 22, yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Bina di Universiti Malaya (UM), tahun ini.

Bapa berusia 54 tahun itu memberitahu, majlis yang diadakan di kediamannya di Alor Setar, Kedah itu susulan penangguhan majlis konvokesyen yang diputuskan oleh pihak universiti berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

“Jadi kami sekeluarga membuat perancangan dua minggu dengan kerjasama rakan-rakan anak bagi memastikan kejutan ini berjaya.

“Perkara pertama yang kami lakukan adalah menyembunyikan skrol dan transkrip pengajiannya sehingga dia asyik bertanya mana skrol tak sampai-sampai lagi,” katanya sambil menambah pelbagai alasan yang diberikan selain mengalihkan tumpuan anaknya itu.

Lebih dikenali sebagai DJ Don, katanya, mereka turut membeli jubah konvokesyen di UM dengan bantuan seorang anak lelakinya yang bekerja di Kuala Lumpur.

“Anak lelaki saya yang berusia 27 tahun iaitu abang Ruhana sanggup berhenti tepi jalan, untuk try pakai jubah sebab nak pastikan semula saiz yang dibeli benar-benar sepadan dengan adiknya,” katanya.

Menjelang hari yang dijadualkan untuk majlis kejutan Sabtu minggu lalu, bapa kepada tujuh anak itu mendapatkan bantuan rakan-rakan baik anaknya untuk membawa anaknya itu keluar ke bandar.


Jelasnya, ia bagi membolehkan mereka membuat persiapan dengan pemasangan khemah, meja dan kerusi serta hidangan termasuk ketibaan tetamu jemputan.

“Saya suruh kawan-kawan baik dia bawa dia keluar dari pagi sampai ke malam, temankan beli baranglah, jalan-jalanlah. Pukul 8 malam baru hantar dia balik.

“Setiba di rumah, anak memang tertanya-tanya tiba-tiba rumah meriah siap pasang khemah dan ramai orang. Dia tanya kami majlis apa, kami cakap ada perasmian dan kenduri kesyukuran.

Majlis kejutan ini merupakan penghargaan buat dia di atas penat-lelahnya sepanjang pengajiannya di universiti.

“Tapi saja kenakan dia, kami minta dia menyempurnakan upacara perasmian sebagai ‘denda’ sebab dia keluar dari pagi tapi tak tolong untuk buat persiapan majlis,” tambahnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Helmet (@sethqhalief_roblox)

Menurut DJ Don, anak ketiganya itu hanya menyedari majlis itu untuk meraikannya apabila sepanduk di pentas diturunkan, dan tertera ucapan tahniah.

“Muzik gamelan dipasang seperti mana yang sering dimainkan di dalam dewan kebanyakan universiti ketika istiadat konvokesyen. Anak kemudian memakai jubah yang dibeli di UM.

“Skrol pula disampaikan sendiri oleh majikannya ketika latihan praktikal sehingga diserapkan sebagai pekerja di syarikat yang sama,” katanya sambil menambah majlis turut diserikan dengan doa kesyukuran, acara potong kek dan pemberian hadiah serta jamuan makan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Helmet (@sethqhalief_roblox)

Beliau yang merupakan pengusaha stesen minyak menyifatkan majlis kejutan itu sebagai tanda penghargaan buat anaknya itu yang selama ini bertungkus-lumus untuk menamatkan pengajian dalam peringkat ijazah sarjana muda.

“Dengan norma baharu ini, majlis kejutan ini merupakan penghargaan buat dia di atas penat-lelahnya sepanjang pengajiannya di universiti. Siang malam dia berada di studio untuk menyiapkan tugasan.

“Walaupun dia pernah hampir putus asa, tapi dia tetap komited dengan meneruskan pengajian di atas sokongan moral kami sekeluarga. Dia seorang anak yang baik dan wajar dihargai di atas kesungguhannya,” kata DJ Don.