[VIDEO] “Saya memohon keampunan semua,” – Tan Sri Muhyiddin Yassin

Sudah cukup dengan hentaman dan tomahan rakyat kepadanya, kini tiada lagi panggilan ‘Abah’ untuk seluruh rakyat Malaysia kerana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun menyerahkan surat perletakkan jawatan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Surat perletakkan jawatan tersebut telah diserahkan dan seluruh ahli Jemaah Menteri serta merta berkuat kuasa hari ini.

Tan Sri Muhyiddin yassin telah mengesahkan perletakkan jawatannya setelah tidak meraih kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Tiada Lagi Gelaran Abah

“Maka pada hari ini saya meletakkan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli jemaah menteri.

“Rayuan ikhlas daripada rakyat agar saya meneruskan jawatan, saya mendengar. Namun rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana tidak dapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Namun, telah ditakdirkan hari ini sebagai hari terakhir saya menjadi Perdana Menteri. Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tak pernah berlaku dalam sejarah negara kita dan dunia.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan daripada saudara dan saudari di atas segala kelemahan saya sepanjang saya menjadi Perdana Menteri.

“Saya sentiasa prihatin dengan nasib saudara dan saudari sekalian kerana saya menganggap saudara dan saudari sebagai anak saya sendiri tak tahu lah ada yang panggil saya ‘abah’ terima kasih.”

“Ucapan terima kasih paling istimewa tentunya buat isteri yang tercinta dan keluarga saya yang jadi sumber inspirasi saya sejak dahulu sehingga ke hari ini.

“Bagi saya, apa yang berlaku hari ini adalah ketentuan Allah SWT yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana sokongan terhadapnya selama ini.

Beliau meminta rakyat agar kekal bertenang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong untuk memilih Perdana Menteri baharu mengikut lunas Perlembagaan.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih atas sokongan saudara-saudari sekalian.

“Saya akan terus berbakti kepada anda serta sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anda semua,” ujarnya.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan dan urus tadbir negara khususnya dalam memerangi wabak pandemik.

“Terima Kasih Rakyat Malaysia” – Petikan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa perjumpaan perpisahan bersama pegawai Pejabat Perdana Menteri pagi tadi.