Dua Kes Keracunan Akibat Ambil Ivermectin Secara Kendiri

Pusat Racun Negara mengesan dua kes keracunan akibat pengambilan pil Ivermectin secara kendiri.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya memaklumkan kedua-dua kes itu membabitkan individu berusia 35 tahun dan seorang warga emas.

“Kes pertama melibatkan pengguna berumur 35 tahun yang mengambil satu biji Ivermectin. Akibatnya, pengguna tersebut telah mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan.

“Kes kedua pula, seorang warga emas dijumpai tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji Ivermectin sekaligus,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Kata kenyataan itu lagi, setakat ini, Ivermectin belum lagi diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan Cvid-19 di Malaysia.

“Namun, didapati terdapat aktiviti penjualan ubat ini secara tidak sah sedang berlaku. Pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan.

Tindakan berani pihak yang cuba mengambil kesempatan itu adalah salah di bawah Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Jelas Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM), Amrahi Buang.

“Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut dan pening. Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru dan kematian.

“Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini. Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri,” tambahnya.

Pada 5 Jun lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata, KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk merawat pesakit yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Dr Noor Hisham berkata, Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases, namun belum ada bukti yang konklusif untuk mengesyorkan penggunaan Ivermectin bagi merawat jangkitan virus tersebut.

Dalam pada yang sama, Laporan kaji semula daripada Cochrane Reviews yang dikeluarkan pada 28 Julai lalu telah menyatakan bahawa kegunaan Ivermectin dalam rawatan jangkitan viruss itu masih lagi tidak konklusif sama ada untuk kegunaan pencegahan ataupun tujuan rawatan.

Oleh itu, KKM menyeru orang ramai mengelakkan pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri.