[VIDEO] Rakaman CCTV Paparkan 2 Wanita Conteng Mural Hero Negara

Lukisan mural gergasi pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 dekat Shah Alam, diconteng dengan kata-kata kesat.

Menurut saksi di lokasi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia terkejut dan kesal melihat karya seni anak muda itu diconteng.

“Jam 7 pagi tadi, masa lalu tepi bangunan ini, lukisan gergasi ini sudah diconteng. Saya terkejut dan terus hubungi pelukis.

“Pelukis tiba setengah jam kemudian, begitu juga polis dan orang awam pun ada ambil gambar.

“Saya sebagai orang awam, kecewa dengan sikap tidak bertamadun orang yang mencontengnya. Ini kerugian yang besar, sepatutnya pandanglah lukisan itu sebagai karya seni bukan dari sudut lain,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, seorang daripada tiga pelukis mural itu, Muhamad Firdaus Nordin, 26, yang turut berada di lokasi memaklumkan saksi memberitahunya berhubung kejadian itu.

“Sebaik sahaja dapat tahu, saya terus datang ke sini selepas tengok gambar dan video di ‘group WhatsApp.’ Sampai sini sudah ada ramai orang dan lukisan sedang ditutup,” katanya yang kelihatan kecewa memandang lukisan mereka diconteng.

Tinjauan di lokasi kejadian 10.50 pagi tadi mendapati selain pelukis terbabit, polis dan pihak berkuasa tempatan mengawasi kawasan terbabit.

Lukisan itu juga ditutup dengan kanvas dan pita kuning DILARANG MASUK.

Lukisan yang diconteng itu dicat semula dengan cat putih oleh kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 12.10 tengah hari tadi dengan kawalan pihak polis.

Terbaru, tular satu video kamera litar tertutup (CCTV) dimedia sosial dipercayai merakam pelaku yang menconteng lukisan mural di U21, Shah Alam.

Berdasarkan video yang dikongsikan oleh Syaril Said ini, kelibat dipercayai pelaku yang kelihatan adalah seperti wanita.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut yang dimuat naik bersama dengan rakaman video berkenaan.

Pagi tadi, negara dikejutkan dengan beberapa gambar mural hero negara itu yang diconteng dan menimbulkan kemarahan ramai rakyat Malaysia.

Insiden berkenaan turut menarik perhatian Sultan Selangor yang murka dan menganggap perbuatan berkenaan sebagai biadap.