[VIDEO] Puting Beliung Di Penang Petang Tadi? Habis Rumah Dan Gerai Rosak

Kejadian puting beliung telah dilaporkan berlaku di Tanjong Tokong, Pulau Pinang petang tadi. Menurut laporan, banyak rumah dan gerai mengalami kerosakan, bumbung rumah Flat tercabut, harta benda awam rosak dan pokok tumbang.

Kejadian itu dianggarkan berlaku sekitar 40 minit dan sempat dirakam oleh orang awam.

Walaubagaimanapun masih tidak dapat dipastikan samada ada terdapat mangsa mengalami kecederaan di dalam kejadian tersebut.

Apa itu puting beliung?

Puting beliung atau tornado ialah sebuah tiub angin berpusing yang menyentuh tanah dan awan kumulonimbus. Angin yang berada di dalam puting beliung berpusing dengan pantas dan menjadikan puting beliung sangat berbahaya.

Kebanyakan puting beliung mempunyai angin selaju 175 km/j atau kurang, dengan lebar 250 kaki (75 meter), dan bergerak beberapa kilometer sebelum “lenyap”. Walau bagaimanapun, sesetengah puting beliung mempunyai angin selaju 480 km/j, dengan lebar lebih daripada (1.6 km), dan boleh bergerak melebihi 100 kilometer.

Puting beliung seringkali terjadi semasa hujan ribut petir angin kuat dan mendatangkan banyak kemusnahan kepada apa-apa sahaja yang disentuhnya.

Bagaimana puting beliung berlaku

Puting beliung boleh terjadi hasil aktiviti di dalam awan kumulonimbus yang besar semasa ribut petir dahsyat. Puting beliung juga boleh berlaku bersama taufan.

Dalam kebanyakan ribut petir yang berlaku di dunia, udara panas naik membawa wap air dan membentuk awan kumulonimbus dan hujan membawa udara sejuk ke bawah pada tempat yang sama, oleh itu angin ribut kencang tidak terbentuk.

Tetapi sesetengah ribut petir pula menghasilkan angin kencang di dalam awan akibat turun naik udara panas dan sejuk secara serentak serta turun naik udara panas dan sejuk yang tidak berlaku pada tempat yang sama, dikenali sebagai fenomena angin ricih.

Sekiranya angin ricih kencang tersebut berubah bentuk daripada melintang di dalam awan kepada menegak, angin kencang berbentuk corong akan terbentuk dan pusaran angin berbentuk corong tersebut dikenali sebagai puting beliung.

Semoga semua penduduk di Penang sentiasa selamat.