[VIDEO] Prihatin Penat Lelah Wartawan Berkampung, Istana Beri Berpuluh Kotak KFC

Sejak dari semalam lagi berpuluh wartawan dan pihak media telah berkampung di hadapan Istana Negara.

Pengumuman ura-ura wujudnya kerajaan baharu dan hari ini kita digemparkan pula dengan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Ada wartawan dan pihak media yang sanggup berlapar dan hanya beralaskan makanan ringan.

Pengorbanan mereka semata-mata mahu mendapatkan berita tentang pergolakan kerajaan yang masih belum selesai sekarang.

Menerusi laman Twitter, Zaim Zamani berkongsi video di mana pihak Istana Negara yang sangat prihatin dan hargai pengorbanan pihak media telah memberikan makanan kepada mereka berupa KFC.

Terima kasih team istana bagi kfc! Hargai dan perihatin dengan kami para pengamal media!

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyumbangkan KFC kepada pengamal media di pintu utama Istana Negara, Kuala Lumpur — Setiausaha Sulit Kanan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Surat peletakan jawatan telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berita itu disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri sebentar tadi.

“Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh hari ini.”

“Surat itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada pukul 1.00 tengah hari,” menurut kenyataan itu.

Setengah jam kemudian, Dr Mahathir turut mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Surat tersebut dihantar kepada ibu pejabat parti hari ini, menurut satu kenyataan Pejabat Pengerusi Bersatu.

Tun Dr. Mahathir kini sedang menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.