[VIDEO] Penghuni Penjara Penor Bantu Frontliners, Jahit PPE Petugas COVID-19

KUANTAN, 30 Mac -- Bengkel jahitan Penjara Penor di sini, hanya 'mengendalikan' tempahan paling penting buat masa ini, iaitu peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit COVID-19. Bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang setiap hari, seramai 18 banduan yang ditempatkan di bengkel itu akan bertungkus-lumus mengukur, memotong dan menjahit PPE [...]

Dalam kekalutan negara kita menangani isu wabak COVID-19 yang semakin menular ini, ada banyak pihak yang sudi menghulurkan bantuan untuk barisan hadapan.

Tidak ketinggalan, banduan di penjara Penor turut sama membantu dengan menyiapkan PPE khas buat petugas COVID-19.

Menerusi laporan Bernama, bengkel jahitan Penjara Penor kini hanya ‘mengendalikan’ tempahan paling penting buat masa ini, iaitu peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas kesihatan yang mengendalikan pesakit COVID-19.

Seramai 18 banduan yang ditempatkan di bengkel itu akan bertungkus-lumus mengukur, memotong dan menjahit PPE yang diperbuat daripada material khas berwarna biru bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang setiap hari.

Menurut Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hasan Hussain, mereka menerima 2,000 meter material berkenaan bagi menghasilkan PPE yang memerlukan lima meter bagi sepasang PPE ‘dari hujung kepala ke hujung kaki’.

Tambahnya, bengkel mereka boleh menghasilkan lebih 20 pasang PPE setiap hari dan diagihkan terus kepada Jabartan Kesihatan.

“Bengkel kami mula menjahit PPE pada Jumaat lepas dan setiap hari kami boleh menghasilkan lebih 20 pasang PPE yang akan terus dihantar ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk diagihkan kepada Jabatan Kesihatan negeri.

“Buat masa ini, bengkel jahitan turut beroperasi pada Sabtu dan Ahad berbeza daripada kelaziman kerana menyedari keperluan mendesak terhadap PPE ekoran peningkatan jumlah pesakit COVID-19,” katanya semasa ditemui Bernama di sini, hari ini.

Abu Hasan berkata beberapa kakitangan penjara telah mengikuti taklimat pembuatan PPE pada 25 Mac, bagi memastikan PPE yang dihasilkan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) pihak kesihatan.

Selain PPE, Abu Hasan berkata Persatuan Isteri, Anak dan Anggota serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) di situ juga telah menghasilkan 525 unit pelindung muka untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Sementara itu, pegawai selia bengkel jahitan Penjara Penor Sarjan Muhd Mulyadi Abd Ghani berkata banduan yang terlibat tidak mengambil masa lama untuk memahami kaedah menjahit PPE kerana sudah mahir mengendalikan mesin jahit ekoran sering menerima tempahan pakaian seragam.

“Untuk melancarkan tugas, kami wujudkan tiga stesen khas yang terdiri daripada membahagikan material, memotong dan menjahit. PPE yang siap juga perlu melalui kawalan kualiti oleh kakitangan penjara.”

Menurutnya lagi, proses yang paling renyah untuk dilakukan ialah memasukkan getah yang bertujuan mengetatkan bahagian pergelangan tangan, dagu topeng muka dan pelindung kasut.