[VIDEO] “Kaya Mak Kiah!!” Ini Senarai Bantuan Untuk Rakyat Ketika Perintah Kawalan Pergerakan

Seperti yang semua sedia maklum, kini negara sedang menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan bagi seluruh Malaysia.

Ekoran dari itu, ramai yang tidak boleh keluar bekerja dan ada diantara kita yang terjejas sumber pendapatan.

Namun begitu, pada hari ini kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Ini merupakan senarai-senarai bantuan mengikut kategori yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat.

  1. Bantuan RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah.

2. Bantuan RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 sebulan

3. Bantuan RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bantuan RM500 bagi yang berpendapatan bulanan RM2,001 hingga RM4,000

4. Bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang kepada pelajar institusi pengajian tinggi yang ketika ini turut terkesan

5. Bantuan tunai RM500 kepada lebih 1.5 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk mereka yang bekerja secara kontrak. Bayaran akan dibuat pada bulan April 2020

6. Bantuan RM500 secara one-off kepada lebih 850,000 pesara Kerajaan juga pada bulan April 2020

7. Penangguhan bayaran balik pinjaman kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020. Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 174,500 peminjam.

8. Pengecualian pembayaran sewa bagi PPR dan Perumahan Awam selama 6 bulan

9. TNB : Diskaun 50 peratus kepada penggunaan bawah 200 kilowatt sebulan; 25 peratus antara 201 hingga 300 kilowatt dan 15 peratus bagi 301 hingga 600 kilowatt

10.Internet percuma kepada semua pelanggan dengan bermula 1 April 2020 selama tempoh pelaksanaan..

11. Kerajaan akan bekerjasama dengan NGO, persatuan dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan dengan peruntukan sebanyak RM25 juta

12. Bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari bawah MySalam, turut dipanjangkan kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI)

13. Bantuan secara one-off sebanyak RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing dengan peruntukan sebanyak RM60 juta

14. Subsidi upah sebanyak RM600 sebulan selama 3 bulan untuk pekerja berpendapatan bawah RM4,000 dan majikan dengan penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Jan 2020

Dalam pada itu, PM juga menjelaskan berapa banyak satu keluarga akan menerima bantuan menerusi satu contoh keluarga Mak Cik Kiah.

“Contohnya, Makcik Kiah penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab.

“Anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isirumah Makcik Kiah di bawah RM4000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa
keluarga Makcik Kiah akan dapat.

“Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500, bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500 dan bantuan orang bujang sebanyak RM800.

“Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM 200 sebulan sehingga wabak berakhir.

“Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM4200.

“Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama 6 bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama 6 bulan sebanyak
RM1800, penjimatan bayaran bil elektrik selama 6 bulan sebanyak RM120.

“Anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama 6 bulan sebanyak RM1200.

“Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600.

“Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464. Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan
ialah sebanyak RM8,664.

“Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat.”

Semoga bantuan yang diberikan oleh kerajaan dapat membantu meringankan beban rakyat ketika ini.

Semoga bantuan ini juga dapat digunakan dengan sebaik mungkin oleh rakyat ketika musim Covid-19 ini.