[VIDEO] Ibu Sebak Anak Kerja di Warung Hantar Kejutan Bunga Duit Selepas Menabung 2 Tahun

Seorang wanita membuat kejutan buat ibunya dengan memberi bunga duit sebagai penyeri hadiah hari ulang tahun.

Pemberiannya itu ternyata mengundang rasa sebak buat si ibu.

Menerusi laporan mStar, Nurhazreen Md Ris berkata, dia tidak menyangka kejutan tersebut menyentuh emosi ibunya yang menyambut ulang tahun ke-54 pada 21 November lalu.

Gembira berjaya buat kejutan

Menurutnya, dia tidak berada di tempat kejadian iaitu di warung milik ibunya di Tawau, Sabah, bagi memastikan rancangannya untuk membuat kejutan itu berjalan lancar seperti dirancang.

“Saya pun nangis bila tengok video yang dibuat oleh pihak yang menghantar bunga duit itu. Saya sebak tengok mak memangis.

“Tapi pada masa sama, rasa gembira juga sebab berjaya suprise kan mak,” kata wanita berusia 27 tahun.

Wang berjumlah RM3,000

Berkongsi kisah mengenai kejutan itu, Nurhazreen yang juga berasal dari Tawau berkata, bunga duit itu merupakan jambangan yang menghimpunkan wang kertas berjumlah RM3,000.

Jelasnya, duit tersebut merupakan hasil tabungannya sejak Januari 2019 kerana dia memang berniat untuk membuat kejutan berupa bunga duit pada hari ulang tahun ibunya.

“Tapi duit dalam tabung hanya ada RM2,100. Saya cakap dalam hati kalau Allah izinkan saya bagi RM3,000, insyaAllah hajat itu akan ditunaikan.

“Saya dapat kumpul duit gaji saya lagi bagi mencukupkan jumlah RM3,000. Akhirnya dapat betul-betuk bagi mak RM3,000,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, duit itu adalah hasil dia bekerja di warung yang diusahakan oleh ibunya sejak 10 tahun lalu.

“Saya belajar setakat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saja. Sekarang ni memang saya kerja dengan mak di warung, duit bunga tu gaji saya bekerja di warung emak,” ujar Nurhazreen.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, tiada simbolik di sebalik angka bagi nilai bunga duit yang dijadikan sebagai kejutan hari jadi itu.

“Tak ada simbolik apa-apa pun. Setakat ni yang saya mampu bagi mak. InsyaAllah tahun depan panjang umur, ada rezeki lebih mahu juga bagi lebih banyak.

“Walaupun sungguh jasa seorang ibu tak dapat dibalas dengan duit, tapi saya saja mahu menggembirakan mak di hari lahir dia,” tambahnya.

Nurhazreen bagaimanapun menjelaskan bahawa dia memang bekerja di warung pada hari kejutan dibuat, tetapi memberi alasan kepada ibunya untuk pulang awal kerana urusan lain.


“Memang tak sangka mak menangis dapat kejutan tu. Selamat hari lahir mak, terima kasih mak atas segala penat lelah dan pengorbanan mak, mengandungkan, melahirkan, membesarkan dan mendidik saya.

“Sungguh tidak dapat saya balas jasa dan kasih sayang mak. Setitis peluh, sehela nafas mak, setitis darah mak ketika melahirkan saya itu pun tak dapat saya balas.

“Moga berbahagia mak sentiasa dan moga Allah merahmati mak selama-lamanya hingga ke syurga. Sayang mak sangat-sangat. Ya Allah pelihara fitrah kasih sayang ini. Amin,” katanya.

Video kejutan bunga duit buat ibu

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ” ” (@royalgift_my)