[VIDEO] Hilang Sinar Aidilfitri, Tiga Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang Rumah Musnah Dalam Kebakaran

Tiada lagi sinar Syawal buat tiga keluarga apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kampung Banggol, Kota Bharu petang semalam.

Menerusi laporan Harian Metro, semua rumah terbabit musnah 95 peratus dan ketiga-tiga keluarga itu tinggal sehelai sepinggan selepas tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana api marak dengan cepat dalam kejadian yang berlaku jam 6:15 petang.

Salah seorang mangsa, Che Zarina Che Salam, 38, berkata dia hanya terkedu kaku melihat kediamannya musnah dijilat api selepas bergegas pulang sebaik menerima panggilan telefon daripada anaknya yang memberitahu kejadian terbabit

Ketika kejadian, dia bersama suami, Ahmadi Jaafar, 40, keluar mencari makanan untuk berbuka dan terus pulang sebaik menerima panggilan daripada anaknya.

“Apabila sampai, rumah kami sudah tidak dapat diselamatkan, namun kami bersyukur lima anak berusia 11 sehingga 18 tahun sempat keluar menyelamatkan diri.”

Malah, segala persiapan Aidilfitri seperti pakaian dan biskut raya musnah dijilat api.

“Segala persiapan raya seperti pakaian kami anak beranak dan pelbagai jenis biskut raya baru saya siapkan petang tadi musnah begitu sahaja, malah semua dokumen penting tidak dapat diselamatkan serta sebuah motosikal yang diparkir di halaman rumah.

“Ini dugaan hari raya sangat tragis buat kami sekeluarga, tiada lagi keterujaan untuk menyambut Aidilfitri pada Ahad ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mangsa lain, Norhisham Mohd Noor, 48, yang bekerja sebagai pemotong rumput, berkata dia hanya mampu menyelamatkan diri selepas api merebak dengan cepat.

“Saya keluar menyelamatkan diri dengan hanya berseluar pendek tanpa sempat menyarung baju kerana ketika kejadian saya sedang beristirehat menunggu waktu berbuka.


“Saya tinggal seorang diri sahaja di rumah dan bernasib baik menyedari kebakaran ini.

“Selain tinggal sehelai sepinggang, mesin rumput yang menjadi punca rezeki saya turut musnah dalam kebakaran ini,”

Kini dia terpaksa menumpang di rumah kakaknya buat sementara waktu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, seramai 22 anggota dan pegawai dari BBP Kota Bharu, Tunjong dan Kota Darul Naim berganding bahu memadamkan kebakaran dalam masa 20 minit.

“Sebaik sampai ke lokasi, kebakaran sudah merebak hampir 55 peratus selain keadaan api marak dengan jarak rumah yang dekat antara satu sama lain.

“Sebanyak tiga kediaman terbakar dan kami berjaya menyelamatkan satu lagi rumah berdekatan daripada terbakar.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua anggota terbabit memadamkan kebakaran dan berbuka puasa sewaktu bertugas,”

Semoga dipermudahkan urusan kesemua keluarga yang terlibat di dalam tragedi ini.