Lima Beradik Sambut Aidilfitri Tanpa Ibu dan Ayah

Kisah mengenai 5 beradik yang menjadi yatim piatu apabila kedua ibu bapa mereka maut dalam kecelakaan jalan raya mengundang sebak menjelang lebaran yang bakal tiba.

Mama dan abah paling sibuk memilih tema

Menurut anak sulung mereka, Nur Afni Nirwani kedua ibu bapanya akan sibuk membuat persiapan Aidilfitri untuk mereka sekeluarga pada setiap tahun.

“Setiap kali menjelang Aidilfitri, mama dan abah paling sibuk memilih tema, mencari baju kami lima beradik serta menempah kuih semperit kegemaran keluarga, namun kini semuanya tinggal kenangan,” kata Nur Afni Nirwani Khairizul, 16.

Selain Nur Afni, adik-adiknya, Nur Istana Nadira, 14, Nur Erna Nabila, 12, Nur Qurratul Ain, 7, dan Muhammad Khairi Zafran,2.

Menumpang kasih datuk dan nenek

Selepas kejadian itu, kehidupan mereka lima beradik selepas itu berubah 100 peratus dan kini hanya menumpang kasih datuk, nenek serta ibu dan bapa saudara.

Sementara itu Nur Afni berkata, Ramadan dan Aidilfitri kali ini begitu berbeza kerana pertama kalinya disambut tanpa ibu bapa mereka di sisi.

“Apabila makan ini teringat abah dan mama, buat itu teringat lagi mama dan abah tambahan pula adik bongsu setiap masa mencari mama dan abah” lapor Berita Harian.

“Ikutkan sekarang mesti mama dan abah paling sibuk menyediakan kelengkapan hari raya kami tetapi apa boleh buat mereka berdua sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumah datuknya dekat Jalan Mohd Saad, di sini, semalam.

Jiran hantar kuih semperit kegemaran mama

Menurut Nur Afni, dia tabah menghadapi ujian dan berterima kasih kepada semua pihak yang sehingga kini masih prihatin terhadap nasib menimpa mereka berlima.

“Mama suka tempah kuih semperit dengan seorang jiran dekat sini dan beberapa hari lalu dia hantar kuih itu kepada kami kerana mengingati arwah mama yang menjadi pelanggan tetapnya,” katanya.

Saya sedang merasai kehilangan dua insan tersayang

Selain itu menurut nenek mereka, Asmalaili Mohd, 58, berkata setiap masa dia mengingati kenangan bersama arwah anak dan menantunya.

“Orang kata kematian anak itu lebih sakit dan saya kini sedang merasainya yang mana kehilangan dua insan yang sangat saya sayang”.

“Arwah anak dan menantu saya antara yang paling ceria kalau buat persiapan nak raya tetapi kali ini ketiadaan mereka cukup terasa”.

“Kebiasaannya pada hari raya pertama semua akan berkumpul makan nasi tomato dan ayam masak merah setiap kali datang beraya tetapi kali ini agak sayu kerana tidak ada lagi mereka berdua di rumah ini,” katanya.

Motosikal mereka dilanggar pemandu mabuk

Mujur kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila kesedihan itu berkurangan sedikit tetapi arwah anak serta menantunya itu sentiasa berada dalam ingatannya sampai bila-bila.

Terdahulu, kemalangan pada 9 Februari lalu Khairizul Mohamad Noor,38, maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangi bersama isterinya, Zuriana Hasan, 35.

Mereka dilanggar pemandu dipercayai mabuk di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, dekat susur keluar Perai.

Selepas itu, Zuriana yang mengalami kecederaan parah dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan menghembuskan nafas terakhir selepas koma selama dua bulan.