[VIDEO] “Banyak kali menangis,” Sempena Ulangtahun ke-42, Siti Nurhaliza Kongsi Proses IVF

Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-42, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsikan video istimewa beliau menjalani proses rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF) untuk kehamilan kedua.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk)

Video tersebut dimuat naik olehnya menerusi saluran YouTube miliknya. Menurut Siti, proses kali kedua ini agar mendebarkan memandangkan sudah beberapa kali gagal ketika menjalani proses tersebut.

“Rasa sama macam Aafiyah dulu. Cuma tinggal lagi masa Aafiyah dulu tak adalah nak menangis banyak sangat. Tetapi kali ini, ada. Saya menangis lebih sikit,” katanya.

Menerusi video berkenaan, Siti turut berkongsikan beberapa prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) yang gagal selama ini. Siti turut berkongsikan proses suntikan IVF yang dilakukan pada 14 Ogos 2020 yang jatuh pada hari Jumaat.

Ujarnya, selepas suntikan tersebut dia perlu berehat di rumah selama 10 hari. Malah Siti juga perlu berhati-hati dalam setiap pergerakan termasuk solat dalam keadaan duduk.

“Proses sama macam proses kehamilan Siti Aafiyah, melalui proses IVF. Cuma kali ini lebih simple sebab baby tu dah ada, dia sama tarikh dengan Aafiyah, cuma Aafiyah saya mulakan dengan cucuk dan sebagainya.

“Tapi kali ini saya cuma makan beberapa ubat bagi persediaan untuk baby itu masuk dalam perut saya,” katanya.

Pada Disember lalu, segalanya terjawab apabila Siti sendiri mengesahkan bahawa dirinya sedang hamil anak kedua dan usia kandungannya kini sudah mencecah lima bulan.

Malah, Siti mendedahkan bahawa bayi keduanya itu sebenarnya merupakan kembar kepada anak sulungnya, Siti Aafiyah, namun embrio tersebut disimpan terlebih dahulu.

Terdahulu, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa sedih dan bimbang susulan bencana banjir yang sedang melanda kampung halamannya di Pahang.

Menerusi satu perkongsian, Siti mendoakan agar masyarakat di Pahang sabar dan tabah menghadapi dugaan tersebut serta segala bantuan dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Bagaimanapun, timbul perkara tak sedap didengar apabila ada netizen menuduh penyanyi itu yang tidak menghulurkan bantuan meskipun banjir melanda kampung halamannya.

Tidak hanya berdiam diri, Siti dilihat ada memuat naik satu perkongsian gambar bantuan dari Kuala Lumpur untuk dibawa ke Pahang untuk diedarkan kepada mangsa banjir.

Dalam entri itu, Siti turut menjelaskan bukan dia tidak mahu turun ke Pahang namun tidak dapat berbuat demikian berikutan keadaannya kini yang sarat hamil.

“Saya tidak dapat turun padang dan melihat sendiri kesukaran di Lipis khususnya, bukan tidak mahu tetapi keadaan saya tak mengizinkan.

“Meskipun ramai yang bertanya, apakah saya tidak berbuat apa-apa? Allah! Tubuh saya mungkin tidak berada di sana tetapi doa dan juga usaha saya, usaha kalian semuanya sampai ke sana,” katanya.