[FOTO] Pavithra Pernah Pakai Gaun Sama Natasha Hudson, Siap Minta Tutupkan Bahu

Memakai gaun putih terdedah bahu sama dengan Natasha Hudson, personaliti masakan YouTube, Pavitra pernah meminta agar bahagian terdedah itu ditutup ketika sesi fotografi majalah online Pepatung tahun lalu.

Berkongsi perkara tersebut di Instagram, kata pereka fesyennya, Rizman Ruzaini, gaya itu dipersetujui oleh penata gaya yang berada di set penggambaran dan dipersetujui sebulat suara oleh semua pihak.

“Menjenguk semula betapa elegannya Pavitra memakai Rizman Ruzaini untuk sampul hadapan majalah Pepatung beberapa bulan lalu ketika PKP. Ini merupakan kali terakhir dres ini dipinjam untuk sesi promosi sebelum ia dijual.

“Berkongsi kisah menarik tentang Pavitra, gaun ini dipinjam untuk sesi penggambaran dan mereka turut membawa penata gaya untuk memantau sesi fotografi itu.

“Malangnya, gaun itu terlalu terdedah untuk Pavitra (sebelah bahagian bahu terdedah dengan hanya menggunakan fabrik jenis tulle yang see-through dan ditambah lipatan berlisu), yang mana Pavitra kurang selesa.

“Dia kemudiannya meminta agar bahunya ditutup dengan sempurna,” dedah Rizman Ruzaini.

Permintaan Pavitra itu dipersetujui penata gayanya dan cara itu menyenangkan Rizman Ruzaini biarpun wanita itu bukan selebriti gred A.

“Penata gaya menghormati permintaan Pavitra dan menggayakan mengikut keselesaannya. Kami (Rizman Ruzaini) bersetuju asalkan ia tidak mencacatkan keseluruhan rekaan gaun itu.

“Pavitra pun bukan selebriti gred A, tapi kami masih gembira untuk bekerjasama dengannya dan berbangga apabila seseorang individu itu menggayakan rekaan kami dengan cara yang elegan dan punyai kelas tersendiri,” tambahnya.

Terdahulu, kisah pelakon Natasha Hudson yang memakai gaun sama ketika majlis pelancaran produk suplemen pada Selasa lalu mencetuskan kontroversi.

Jelas Natasha dia tiada masalah untuk menggayakan gaun terbabit dan tidak kisah dengan kecaman netizen.

Rizman Ruzaini kemudian tampil menyatakan kekesalan dan terkejut dengan tindakan selebriti berhijab (Natasha) menyarung pakaian terbabit sekali gus menganggap ia telah mencalarkan reputasi dan imej yang dibina mereka sejak 15 tahun lalu.

Penganjur acara terbabit kemudian tampil bersuara dan menasihati pereka fesyen itu untuk tidak melatah dan menghentam pembeli pakaian mereka.

Natasha juga tampil menyatakan pendiriannya dan beranggapan kenyataan Rizman Ruzaini berbaur peribadi dan berat sebelah. Malah, Natasha berpendapat kenyataan terbabit dibuat hanya kerana dia bukan selebriti gred A yang sering memakai persalinan pereka fesyen duo itu.

Pada masa sama, Natasha turut meminta Rizman Ruzaini membuat permohonan maaf.

Sebelum itu, Natasha Hudson mengaku enggan melayan kerenah dan kata-kata dar netizen mengenai gaun berwarna putih yang menampakkan sebahagian bahunya.

Natasha memakai gaun berkenaan ketika menjayakan sebuah majlis pelancaran produk yang menyaksikannya sebagai wajah dan ikon produk bersama aktor kacak, Keith Foo yang merupakan dutanya.

Pakaian berkenaan menerima banyak komen dalam media sosial sementelah Natasha sendiri telah memuat naik gambar berkenaan dalam akaun Instagramnya.

“Penata gaya telah dilakukan oleh pihak pengasas produk dan saya tiada masalah untuk menggenakan gaun tersebut kerana ia masih lagi berlapik dan bukan seperti apa yang difikirkan orang.

“Jangan tertipu dengan warna kain ini dan saya tiada masalah untuk menggayakannya kerana ia mengikut tema majlis.

“Ini bukan pelancaran kedai mamak, ini majlis pelancaran produk! Tambahan pula saya bukan selalu mengenakan gaun,” katanya.

Natasha berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pelancaran produk tersebut yang dilakukan di Menara Kuala Lumpur petang tadi.

Dalam pada itu, kata Natasha warganet perlu matang dalam memberi komen atau melemparkan pandangan kerana ini berkaitan dengan kerjayanya.

“Saya pun malas nak dengar kata-kata orang sebab orang di luar tidak akan berhenti bercakap walau apa pun yang kita buat.

“Saya tak kisahlah. Lagipun bukan mereka yang menyuapkan makan,” katanya.