[VIDEO] Anak Autisme Diheret & Dikasari Guru, Bapa Luah Rasa Terkilan

Setiap ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik buat anak mereka. Namun, sejak akhir-akhir ini, kerap kali kes kekasaran terhadap kanak-kanak dilaporkan.

Sama seperti yang terjadi kepada seorang bapa dikenali sebagai Tengku Aminuddin Shaf meluahkan rasa terkilan apabila anak istimewanya yang juga seorang autisme dikasari seorang guru di sekolah tadikanya.

Menerusi satu muatnaik di laman Instagram, Tengku Aminuddin memberitahu kejadian tersebut berlaku pada 1 Oktober lalu dan dia tidak boleh menerima tindakan guru terbabit.

Menurutnya, kejadian tersebut juga menyebabkan dia hilang kepercayaan kepada pusat jagaan kanak-kanak tersebut.

Tengku Aminuddin telah membuat perkongsian menerusi laman sosial Instagram (IG)nya dengan memuat naik video ketika kejadian, foto beberapa bahagian badan anaknya yang lebam dan salinan laporan polis.

“Saya terkilan dan sangat marah dengan apa yg telah terjadi kepada anak saya semalam. Anak saya merupakan pelajar di Maikidzcare Center Bandar Baru Ampang, Selangor .Intervention Centre ini adalah khusus untuk kanak- kanak autistik.

“Insiden tersebut berlaku pada 1 Oktober 2021 dan tidak boleh diterima serta kami hilang kepercayaan untuk menghantar anak kami ke pusat jagaan tersebut lagi.

“Anak saya Tengku Noah, merupakan anak austisme dan sebab kami menghantar anak ke pusat jagaan terbabit kerana kami yakin dengan kepakaran, keupayaan dan pengetahuan mereka serta teknik berhadapan dengan anak-anak istimewa.

“Kami percaya keselamatan Noah akan lebih terjamin dan dijaga dengan baik. Sebelum ini saya dah perasan ada kesan lebam pada bahagian muka dan badan tetapi saya hanya bersangka baik, mungkin Noah terlalu aktif sehingga terlanggar dinding atau sebagainya. Kami percaya kepada pusat jagaan terbabit,” katanya.

Walau bagaimanapun dakwa Tengku Aminuddin, 1 Oktober lalu dia ternampak kesan lebam pada bahagian belakang badan Noah dan yakin bahawa itu bukan disebabkan oleh anaknya sendiri.

Tengku Aminuddin mengambil keputusan untuk bertanya sendiri kepada pihak pengurusan sekolah dan alasan diberikan Noah tidak mahu makan sehingga menyebabkan guru tersebut menggunakan sedikit kekerasan.

“Anak saya dari video ini dengan jelas takut dengan guru yang merupakan Pengetua di Centre tersebut, takut akan di apa apakan oleh guru tersebut dan saya tidak lihat di mana-mana klip CCTV (yang saya sempat rekod dan yang saya tidak dibenarkan untuk rekod dan enggan ditunjuk semula oleh pihak Center) yang anak saya bertindak kasar.

“Kesalahan anak saya ialah dia tidak mahu makan. Makanan diluah keluar semula dari mulut.

“Saya tidak rasa tindakan mereka mengheret anak saya di atas lantai dan mencederakan anak saya sebagai suatu tindakan yang munasabah dan tetapi merupakan satu tindakan yang tidak masuk akal.

“Saya sebagai bapa yang membayar fee bulanan tanpa gagal, kesal dengan tindakan mereka dan tertanya tanya adakah servis yang sebegini rupa yang ditawarkan kepada kami dengan bayaran fee yg agak tinggi oleh saya.

“Adakah ini teknik dan cara yang diamalkan oleh pakar ataupun seorang yang berpengalaman sebagaimana yang diwar warkan oleh pihak Centre, dalam mengendalikan anak-kanak autisme?

“Dengan menggunakan kekerasan? Untuk pengetahuan, pelaku di dalam klip rakaman CCTV ini adalah pemilik dan CEO Pusat Intervensi Maikidz iaitu Sharifah binti Mazlan.

“Buat ibu bapa yang lain, saya ayah Tengku Noah, ingin kongsikan video dan photo anak saya dan apa yang terjadi.

“Anak saya dipaksa makan kerana dia seorang “picky eater”, kes ini telah dilanjutkan ke pihak Polis dan pemeriksaan kesihatan (fizikal dan juga dalaman) telah dilakukan oleh pihak Hospital dan tindakan undang-undang telah diambil oleh pihak kami.


“Kami kesal untuk mengetahui daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bahawa Center ni tidak mendapat kelulusan dan lesen dari JKM mereka beroperasi secara tidak sah dan pelatih dan guru tidak mempunyai lesen dan kelayakan dalam mengajar anak-anak autism,” katanya kesal.

Video CCTV adik Noah dikasari guru

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius insiden tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak OKU, beliau menzahirkan rasa terkilan dan dukacita dengan perbuatan pengendali pusat intervensi berkenaan yang seharusnya lebih peka dan sensitif dengan keperluan anak-anak berkeperluan khas.

“Saya berkehendakan agar perkara ini disiasat segera dengan teliti, dan hukuman tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah agar perkara sebegini tidak berulang, di samping menjadi peringatan kepada pusat-pusat jagaan dan pusat intervensi kanak-kanak di negara ini.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan sehingga menjejaskan kehidupan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina berkata, kementerian terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama serta menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada mana-mana orang yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang boleh menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, sebagai tindakan responsif kepada isu ini, beliau telah mengarahkan agar KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan penguatkuasaan bersesuaian seperti mana tertakluk di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) kepada pusat intervensi berkenaan.