[VIDEO] 1 Maut, 4 Hilang Kapal Dayang Topaz Karam di Perairan Miri

Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 124 krew kapal Dayang Topaz berjaya diselamatkan selepas kapal yang dinaiki mereka alami kecemasan di perairan Miri, Sarawak.

Empat kru yang dilaporkan hilang pada sebelum ini telah berjaya ditemui berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som dalam satu kenyataan menyatakan bahawa maklumat awal mendapati bahawa kejadian itu disyaki berpunca daripada kabel sauh kapal tersebut telah terputus.

“Berdasarkan maklumat awal, kejadian disyaki berpunca daripada salah satu kabel sauh Kapal Dayang Topaz terputus ekoran daripada cuaca buruk dan kapal tidak dapat dikawal lantas hanyut melanggar platform pelantar Minyak beramB,” katanya.

Susulan daripada itu, pelbagai aset telah dikerahkan bagi memantau keselamatan mangsa antaranya ialah KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23 serta aset-aset SAR.

MRCC Putrajaya kini dilaporkan sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat serta agensi termasuk Komuniti Nelayan Tempatan susulan daripada kejadian itu.

Terbaru, Maritime Rescue Coordination Center (MRCC) Putrajaya mengesahkan bahawa semua mangsa MV Dayang Topaz iaitu seramai 187 kru termasuk satu mayat kini dalam perjalanan masuk ke Jeti Pelabuhan, Miri yang dijangka akan tiba pada jam 1.30 tengah hari ini.

Semua mangsa dibawa oleh kapal-kapal yang terlibat dalam Operasi CARILAMAT yang telah diaktifkan pada jam 7.00 pagi tadi.

Selain itu, MRCC Putrajaya juga mengesahkan dua mangsa mengalami kecederaan, dan mangsa telah dipindahkan dari Platform Naga 2 untuk dibawa ke Pangkalan Udara Miri oleh helikopter milik PETRONAS bagi rawatan lanjut di Hospital Miri.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang terlibat merangkumi 185 kru warganegara Malaysia dan 2 kru warganegara Indonesia iaitu Kepten Kapal dan Chief Officer berumur lingkungan 21 hingga 63 tahun.

MV Dayang Topaz yang disewa oleh pihak Petronas Carigali dilaporkan mengalami kerosakan ketika kejadian juga akan diiring masuk ke Pelabuhan Miri.

MRCC Putrajaya juga telah menyelaraskan keperluan pencegahan jangkitan COVID-19 yang akan diseliakan oleh Pejabat Zon Maritim Miri, manakala ujian saringan akan dilaksanakan oleh Petugas Kesihatan Miri. Operasi SAR ini dikoordinasikan sepenuhnya oleh MRCC Putrajaya dan MRSC Kuching.

Agensi ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi CARILAMAT MV Dayang Topaz yang telah memberi kerjasama padu dan bertindak pantas bagi menyelamatkan mangsa-mangsa terlibat.

Pihak-pihak yang terlibat adalah Petronas, Shell, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,Kementerian Kesihatan Malaysia, Pihak Bekuasa Tempatan, Pelabuhan Miri, Brunei Shell Petroluem dan Komuniti Maritim di Perairan Miri.