Veveonah Tidak Menipu! UMS Sahkan Pelajar Ada Exam Dalam Talian Pada Jun

Begitulah kisahnya melibatkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang didakwa tidak mengambil peperiksaan sebagaimana dipaparkan menerusi videonya sebelum ini. Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Seri Masidi Manjun, Veveonah tidak menipu dan telah menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian pada Jun lalu. "Setelah mendapat penjelasan terperinci daripada Pengarah Pusat Asasi [...]

Malang bagi pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang sebelum ini didakwa menipu dan tidak mengambil peperiksaan sebagaimana dipaparkan menerusi videonya di laman Youtube.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin telah membuat kenyataan pada minggu lepas dengan tuduhan yang tidak tepat.

Kita dah semak dah

“Veveonah merupakan seorang YouTuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya YouTuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.”

Video kenyataan Timbalan Menteri

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu.

“Jadi, kita minta pihak berwajib yang tidak ada line atau blind spot, maklumkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita akan segera atasi masalah tersebut terutamanya dari segi pendidikan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau telah membuat permohonan maaf menerusi perkongsian di Facebook selepas dikecam netizen.

Veveonah tidak menipu

Terbaru, menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Seri Masidi Manjun, Veveonah tidak menipu dan telah menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian pada Jun lalu.

“Setelah mendapat penjelasan terperinci daripada Pengarah Pusat Asasi Sains UMS, saya mengesahkan pelajar Asasi Sains, Veveonah telah menduduki peperiksaan akhir pada 9 hingga 12 Jun 2020.

“Veveonah seorang pelajar cemerlang dan akan meneruskan kursus ijazah Sains Marin di UMS,” ujarnya.

Menurut Zahidi, maklumat yang diterimanya mengenai Veveonah diperoleh daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang juga timbalan menteri kewangan 1.

Datuk Abdul Rahim Bakri pula ada membuat kenyataan di laman Facebook miliknya pada semalam sebelum memadamnya setelah menerima kecaman.

Menurut Rahim, dia serta pegawainya telah membuat siasatan sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Selain itu, menurut pegawainya telah berjumpa dua ketua kampung -Elwin Madisa (ketua kampung Sepatalang) dan Edward Upak ketua kampung Bilangau Besar) Daerah Pitas, Kota Marudu Sabah- bagi mendapatkan maklumat berkenaan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu.