“Ustaz Ebit Lew tak bersalah & kami sekeluarga..” Ini Penjelasan Anak Pak Aq

Pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew antara salah seorang yang banyak memberi sumbangan kepada rakyat yang memerlukan bantuan.

Tambahan pula, ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini Ustaz Ebit Lew gigih turun padang dan menyalurkan bantuan kepada semua pihak.

Sebelum ini, pelbagai isu berbangkit apabila Ustaz Ebit Lew dikatakan telah menolong satu keluarga yang memerlukan di Alor Setar.

Ustaz Ebit Lew tidak bersalah

Pertolongan dari Ustaz Ebit Lew itu didakwa menimbulkan pelbagai isu. Namun, anak kepada Pak Aq, keluarga yang dibantu itu memberikan penjelasan mengenai isu tersebut.

“Ustaz tak bersalah, beliau menyantuni kami sekeluarga dengan baik dan kami tidak rasa pun dia aibkan keluarga kami yang sememangnya dari dahulu berkeadaan begitu,” kata Siti Nor Saadiahton Ishak.

Sementara itu, wanita berusia 25 tahun itu berkata dia sangat sedih apabila mendapat tahu hal tersebut.

Ustaz Ebit Lew dipanggil ke Bukit Aman beri keterangan

Ustaz Ebit Lew dikatakan akan berhenti daripada membantu golongan miskin secara langsung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ustaz Ebit Lew turut memberitahu perkara yang sama diakaun Facebooknya selepas dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan hari ini.

Ujar Siti Nor Saadiahton lagi, jika keterangan itu membabitkan bantuan kepada keluarganya, dia berdoa semoga Allah membuka jalan dan rezeki yang lebih luas buat Ebit membantu golongan yang memerlukan selepas ini.

Ustaz ke rumah tempoh hari bawa sinar baru

“Sesiapa pun yang membuat laporan akibat tidak berpuas hati dengan tindakan Ustaz, ketahuilah bahawa kehadiran Ustaz ke rumah kami tempoh hari membawa sinar baharu untuk keluarga saya berubah”.

“Selama ini kami sekeluarga hargai setiap bantuan yang diberikan kerajaan negeri, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), penduduk kampung dan ahli jawatan kuasa masjid”.

Kami hargai semua bantuan dari pelbagai pihak

“Semua bantuan yang diberikan sangat banyak dan kami bersyukur dengan pertolongan semua pihak”ujarnya kepada Berita Harian.

“Kemudian Allah aturkan pula pertolongan daripada Ustaz yang sememangnya pada ketika itu kami sekeluarga mahu berpindah”.

“Tiada siapa yang bersalah dan kami menerima bantuan daripada sesiapa pun dengan hati terbuka,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Penjelasan anak ke enam daripada 10 beradik ini, berkata dia sangat mengharapkan semua pihak berlapang dada dan tidak menganggap kes tular keluarganya itu memalukan sesiapa atau pihak tertentu.

Kami sudah lali dihina orang

Ujarnya lagi sehingga kini ahli keluarganya sangat berharap Ebit dapat kembali ke rumah sewa baharu mereka berikutan mereka sangat dahagakan nasihat dan kata-kata semangat daripada beliau.

“Anak-anak saudara saya sendiri sejak jumpa Ustaz Ebit Lew tak pernah lekang daripada mulut mereka menyebut nama Ustaz”.


“Mereka berulang menyuarakan mahu ke sekolah dan jadi seperti Ustaz apabila dewasa nanti”ujarnya lagi.

“Kami sudah lali dihina orang. Namun kehadiran Ustaz memberi sinar untuk keluarga kami menjadi lebih baik”.

Saya doakan Ustaz tak putus asa

“Saya doakan Ustaz tak putus asa dan percayalah lebih ramai di luar sana masih memerlukan Ustaz”.

“Semoga Allah memelihara dan melindungi Ustaz selalu,” kata anak kepada pasangan, Jamaliah Rejab, 54, dan Ishak Darus, 77, itu.

Difahamkan, sebelum ini keluarga Ishak atau lebih dikenali sebagai Pak Aq, sebelum ini tinggal secara bersesak dalam sebuah rumah daif.

Walaubagaimanapun, mereka berjaya dipujuk Ebit untuk berpindah ke kediaman baharu yang lebih selesa terletak di Lorong Fajar atas bantuan Ustaz Ebit Lew.