Tolong Salah, Tak Tolong Salah! Wanita Tular Selongkar Sampah Positif ‘Pil Kuda’

Seorang wanita yang kisahnya tular ketika menyelongkar tong sampah bersama anaknya untuk mencari barangan kitar semula, ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di rumahnya di Kampung Baru Nelayan, Tumpat hari ini.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia 36 tahun itu ditahan menerusi serbuan pada 8.30 pagi bersama adik lelakinya berusia 34 tahun.

Wanita itu kelihatan gelisah dan mendakwa bengkak susu

Menerusi laporan Harian Metro, ketika ditahan wanita terbabit dalam keadaan khayal dadah dipercayai selepas mengambil pil kuda.

Ketika ditemui di Pejabat AADK Daerah Tumpat, wanita itu dalam keadaan gelisah dan mendakwa ‘bengkak susu’.

Ini kerana dia tidak menyusu anak bongsunya yang berusia setahun empat bulan beberapa jam selepas ditahan.

Mengalami tekanan sejak ditinggalkan suami 

Ketika ditanya punca mengambil dadah, wanita itu mendakwa mengalami tekanan perasaan dan berdepan dengan banyak masalah menyebabkan mengambil jalan singkat susulan ditinggalkan suami sejak lebih dua tahun lalu.

“Saya mengaku sudah lama mengambil pil kuda, tetapi berhenti sejak mengandung anak bongsu lebih dua tahun lalu. Namun, kini saya kembali menagih kerana tekanan hidup.”

Beli pil kuda dari hasil jualan besi buruk

“Banyak masalah dihadapi termasuk memikirkan suami yang entah ke mana menghilang, kemiskinan hidup dan masyarakat sekitar sentiasa memandang serong terhadap saya sekeluarga,” katanya sambil memberitahu membeli pil kuda hasil daripada jualan besi buruk diselongkar di tong sampah.

Kisah wanita berkenaan sebelum ini tular apabila dilihat menyelongkar timbunan sampah bersama beberapa anaknya untuk mencari barang kitar semula di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, bulan lalu.

Ramai yang tampil sebelum ini hulurkan bantuan selepas kisahnya tular

Susulan itu, ramai pihak yang tampil menghulurkan bantuan termasuk Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, selain turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Daerah Tumpat, Siti Morni Mustafa berkata, serbuan itu dilakukan sempena Op Cegah di bawah Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan dan dalam operasi itu, empat penagih ditahan.

Individu ditahan di rumah masing-masing

Beliau berkata, tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 40-an itu ditahan di bandar Tumpat, Pengkalan Kubor serta Wakaf Bharu.

“Seramai 10 anggota diketuai saya sendiri ke lokasi dikenal pasti dan keempat-empat individu itu ditahan di rumah masing-masing.”

Ujian saringan positif dadah

“Ujian saringan dijalankan mendapati semua yang ditahan positif dadah jenis methampethamine dan masih di bawah pengaruh dadah ketika ditahan pagi tadi,” katanya.

Kisah wanita ini tular selepas gambar dia dan anak-anak tular sedang menyelongkar tong sampah untuk mencari besi buruk untuk menyara hidup mereka sekeluarga.

Selongkar tong sampah bukanlah kerana tidak cukup makan

Memetik laporan Berita Harian, kisah wanita yang tular selepas rakaman video dia dan anak-anaknya menyelongkar tong sampah tersebar di laman sosial tampil menjelaskan perbuatannya itu.

Menurut Noriza Husin, 36, dari Tumpat, dia menyelongkar tong sampah di tepi jalan bukanlah kerana tidak cukup makan, sebaliknya perbuatan tersebut sudah terbiasa dilakukan sejak bertahun lamanya.

Jual besi buruk untuk sara hidup bersama empat orang anaknya

Menurutnya, tahun lalu dia menyelongkar tong sampah bagi mencari besi buruk untuk menyara hidup bersama empat anaknya setelah ditinggalkan suami.

Namun kini, katanya, dia tidak menjadikan amalan mengutip bahan terbuang daripada tong sampah sebagai punca utama pendapatan keluarga kerana sudah mendapat bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain bekerja di kedai memproses keropok

Che Norhayati (dua dari kanan) melawat keluarga Noriza dan turut menyampaikan sumbangan makanan serta wang tunai.

Kami sudah lama tidak kutip besi buruk

“Kami sudah lama tidak kutip besi buruk dalam tong sampah. Insya-ALLAH duit yang ada ini cukup untuk belanja kami lima beranak namun secara ala kadar.”

“Tapi semalam (Isnin) tiba-tiba anak lelaki sulung saya berusia 10 tahun mengajak untuk mencari besi buruk.”

Kami anak beranak buat untuk sara hidup ketika susah dahulu

“Mungkin sebab kami sudah lama tak kutip besi buruk, dia rasa teringat nak buat.”

“Saya ikutkan saja sebab ini satu-satunya kerja yang kami anak beranak buat untuk sara hidup ketika susah dahulu.”

“Bukan saya tak larang, tapi mereka dah terbiasa dari kecil lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Isnin.

Tular di media sosial

Video mereka telah tular di media sosial menunjukkan Noriza bersama anak-anaknya menyelongkar tong sampah di kawasan Perkampungan Belayan Baru, Tumpat.

Pada tahun lalu, media pernah melaporkan Noriza mendukung bayi berusia tiga bulan sambil menyelongkar tong sampah untuk mencari besi buruk, sambil sebelah tangan lagi memimpin anak ketiganya berumur empat tahun dan berjalan sejauh satu kilometer setiap hari.

Dia kini menumpang di rumah kakaknya

Bagaimanapun, rutin Noriza sudah berubah setelah bekerja di kedai memproses keropok dan turut dibantu kakaknya, Sarinah Husin, 43, dan juga abang iparnya yang bekerja sebagai buruh.

Noriza berkata, dia kini tinggal menumpang di rumah kakaknya, menjadikan seramai 15 orang tinggal di dalam rumah tersebut.

Mungkin pembuka pintu rezeki buat mereka

Ibu cekal itu bagaimanapun berkata, dia tidak marahkan individu yang tularkan perbuatannya itu dan menyifatkan ia mungkin pembuka pintu rezeki kepada mereka 15 beranak.

“Saya nak bergantung sepenuhnya kepada kakak dan abang ipar pun tak boleh juga sebab mereka ada dua anak istimewa dan sekarang berusaha untuk membuat permohonan bantuan dengan JKM.”

Apa yang saya buat adalah berjimat cermat

“Apa yang boleh saya buat sekarang adalah berjimat cermat. Sebab dua anak masih bersekolah dan itupun ada pihak sekolah yang membantu,” katanya.

Menurutnya, kalau dikenangkan kembali kisah hidupnya sebelum ini memang sedih apabila teringat zaman anak sulungnya ke sekolah dengan hanya membawa kertas kosong kerana tidak mampu.

Saya tidak sesekali menjual anak saya

Disebabkan kemiskinan hidup, katanya, ada individu yang mahu membeli kandungannya ketika dia sedang hamil dua bulan.

“Walau apa pun yang berlaku, seburuk mana saya dipandang orang, saya tidak sesekali menjual anak saya. Dengan kudrat yang ada saya tetap besarkan mereka.”

“Saya selalu ingatkan anak-anak, walaupun kita susah mereka kena belajar bersungguh-sungguh demi masa depan keluarga dan ingat jasa mereka yang membantu kita selama ini,” katanya.