“Tolong jaga Ma & adik” Berenang Lebih Sejam Cari Bantuan, Tekong Bot Terbalik Kongsi Detik Cemas

Sebelum ini kita dikhabarkan kisah bot terbalik yang telah mengorbankan 8 individu dan baki 12 orang terselamat dalam kejadian tersebut.

Menerusi Bernama, tekong bot Hazahar Mat Sanishah, 48, berkongsi pengalamannya ketika kejadian berlaku.

Along, tolong jaga ma dan adik-adik lain

“Along, tolong jaga ma dan adik-adik yang lain sekiranya abah tidak kembali ke bot,” kata Hazahar selaku tekong bot kepada anak sulungnya.

Beliau kemudiannya berenang lebih satu jam untuk meminta bantuan bot berhampiran selepas bot yang dikemudinya terbalik dan karam di perairan Bachok, Isnin lalu.

Bapa kepada lima anak itu berkata, selepas meninggalkan pesanan kepada anaknya, Muhamad Ikhwan, 27, yang ikut serta.

Berenang sejam untuk minta bantuan bot berhampiran

Difahamkan, beliau berenang lebih sejam untuk meminta bantuan bot berhampiran yang pemilik bot merupakan kenalannya, dikenali sebagai Pak Jim.

“Disebabkan laut bergelora selain keadaan sangat gelap menyebabkan Pak Jim sukar untuk melihat saya berenang ke arahnya walaupun ketika itu saya menjerit meminta tolong”.

Tangan dan kaki hampir kejang dan timbul rasa putus asa

“Selepas berenang pada jarak lebih empat batu nautika, menyebabkan tangan dan kaki saya hampir kejang selain timbul rasa putus asa”.

“Namun saya bersyukur dengan kuasa Allah, akhirnya Pak Jim mendengar jeritan saya dan mencampakkan tali untuk menarik saya naik ke atas bot,” lapor Bernama.

Hazahar menceritakan pengalaman ngeri bergadai nyawa demi menyelamatkan 19 pemancing lain.

Menurut beliau, kejadian bot terbalik dan karam berkenaan merupakan kejadian pertama yang berlaku sepanjang tempoh lebih 30 tahun beliau menjadi nelayan dan tekong bot.

Ribut ini luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini

Katanya, ketika kejadian sekitar 7.45 malam Isnin lalu, beliau seakan sudah dapat menduga akan berlaku ribut selepas melihat keadaan sekitar yang luar biasa.

“Ribut ini mainanorang laut, lagipun saya juga telah mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di laut, jadi keadaan yang berlaku ketika itu saya sudah dapat duga berlaku ribut”.

“Namun saya sama sekali tidak menyangka ribut yang berlaku adalah luar biasa dan tidak pernah berlaku selama ini”.

Bunyi seperti kereta api lalu dalam jarak yang dekat 

“Bimbang dengan keadaan itu, saya meminta anak keempat saya Muhamad Iqram, 18, untuk mencampak sauh ke laut”.

“Namun belum sempat dia berbuat demikian tali sauh itu terputus disebabkan ribut kuat dalam tempoh 30 saat seolah-olah seperti bunyi kereta api api lalu dalam jarak yang dekat, datang secara tiba-tiba”.

“Ketika itu saya hanya mampu melaungkan Allahuakbar selain pada masa yang sama berusaha mengimbangi bot,” katanya.

Ribut seakan puting beliung dipanggil kepala angin sebabkan bot terbalik

Ujar beliau lagi, ribut yang seakan puting beliung itu atau dipanggil ‘kepala angin’ telah menyebabkan botnya terbalik.

Ia sekali gus telah menyebabkan ada di antara mereka yang tercampak ke dalam laut.

“Keadaan ketika itu sangat cemas dan persekitaran sangat gelap dan saya memikirkan keadaan dua anak saya yang ikut serta”.

“Selain panik apabila memikirkan Iqram tidak pandai berenang. Namun, syukurlah saya berjaya menemukan mereka”.

Saya minta pemancing berpaut pada objek sekeliling

“Ketika itu juga saya turut meminta mereka serta awak-awak dan pemancing lain untuk berpaut dan berpegang kepada objek-objek yang berada di sekeliling”.

“Ia membantu mereka untuk bertahan agar tidak tenggelam sebelum saya meminta bantuan nelayan yang berada berdekatan dengan tempat kejadian”.

“Walaupun menyesal tidak dapat menyelamatkan kesemua mangsa, namun saya bersyukur dan menarik nafas lega sekurang-kurangnya kesemua jasad lapan mangsa yang meninggal dapat ditemukan dalam tempoh yang singkat,” katanya.


Kejadian berlaku jam 8.30 malam Isnin lalu, bot yang dinaiki 20 individu termasuk pemancing dan awak-awak.

Kesemua mereka pergi memancing dan menyandat sotong

Mereka pergi memancing dan menyandat sotong telah terbalik dipukul ribut menyebabkan sauhnya terputus, sebelum dibadai ombak besar dan karam.

Susulan kejadian itu, 12 individu berjaya menyelamatkan diri dan lapan individu ditemukan meninggal dunia iaitu Wan Aminuddin Wan Hussin, 63; Mohd Syafizam Daud, 43; Muhammad Zaki Muhamad Nordin, 32; Pok Ta berusia 50-an dan Shafiq Che Alim, 29, Harun Daud, 60; Che Wadi Bakar, 44, dan Arman Ismail, 43.

Takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas kejadian tersebut dan semoga mereka ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.