Tiada Lagi Pondan Dalam Drama dan Filem, Unsur LGBT Akan Dipotong

Dewan Rakyat telah memutuskan di mana semua unsur atau adegan yang mempamerkan atau mempromosikan  budaya hidup songsang seperti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) akan dipotong dan tidak akan diluluskan untuk tayangan umum.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman ketika menegaskan perkara itu berkata, ia berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan Lembaga Penapisan Filem di Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak membenarkan sebarang tayangan berkaitan budaya hidup songsang itu untuk tontonan umum.

Lembaga Penapisan Filem KDN telah ditubuhkan di bawah Akta 620 Penapisan Filem 2002, akan mengambil kira empat aspek utama dalam proses penapisan filem dan drama oleh lembaga berkenaan.

Aspek-aspek itu adalah aspek keselamatan dan kesejahteraan awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.

Katanya lagi, budaya LGBT termasuk di bawah sosiobudaya dan lembaga akan memotong dan tidak akan meluluskan apa sahaja adegan dan dialog yang mempromosikan budaya songsang itu dalam filem dan drama.

Mohd Azis menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) mengenai langkah kerajaan untuk menyekat budaya songsang seperti LGBT dalam penerbitan filem dan drama di negara ini.

Walaubagaimanapun, Mohd Azis berkata lembaga berkenaan tidak akan memotong adegan sedemikian sekiranya mendapati terdapat pengajaran yang boleh diambil daripada adegan dan lakonan itu.