Terlupa Anak di Dalam Kereta, Bayi 9 Bulan Maut Selepas 4 Jam Terkurung

Seorang bayi berusia 9 bulan ditemui tidak bernyawa di dalam kereta bapanya di Kompleks Tun Razak, Indera Mahkota, Kuantan, tengah hari tadi. Mangsa ditemui oleh bapanya sendiri yang ketika itu mahu keluar dari pejabat dan masuk ke keretanya pada jam 1 tengah hari. Apabila menyedarinya anaknya di dalam kereta, lelaki itu menjerit "Allahuakbar" kerana panik [...]

Luluh hati seorang bapa apabila bayi yang baru berusia 9 bulan ditemui tidak bernyawa di dalam kereta di Kompleks Tun Razak, Indera Mahkota, Kuantan, tengah hari tadi.

Bapanya sendiri menemui mangsa di dalam kereta yang ketika itu mahu keluar dari pejabat dan masuk ke keretanya pada jam 1 tengah hari, lapor Sinar Harian.

Tersedar anaknya sudah tidak bernyawa di dalam kereta, hanya kalimah ‘Allahuakbar’ yang mampu dilaungkannya.

Jeritannya itu mendapat perhatian orang awam yang kemudian membantu menenangkannya dan membawa mangsa ke hospital.

Mangsa segera dikejarkan ke Klinik Kesihatan Indera Mahkota dengan menaiki motosikal, namun pihak klinik mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Menurut Ketua Poilis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, siasatan mendapati mangsa ditinggalkan dalam kereta selama empat jam kerana bapanya terlupa untuk menghantar dia ke taska.

Menurutnya, bapa mangsa telah keluar untuk menghantar anak sulung berusia 10 tahun ke sebuah sekolah di Kampung Chendering, Paya Besar pada jam 7.20 pagi, sebelum balik ke rumah untuk mengambil isteri dan anak keduanya berumur 6 tahun dan juga mangsa.

Kemudian, pada jam 8.25 pagi, bapa mangsa hantar anak kedua ke sekolah yang sama dan seterusnya menghantar isteri ke tempat kerja di Indera Mahkota sebelum pergi ke tempat kerjanya di Pejabat Jabatan Kerja Raya yang terletak di Komtur.

Sepatutnya mangsa dihantar ke taska di Indera Mahkota 15, tetapi bapanya terlupa untuk berbuat demikian menyebabkan mangsa ditinggalkan dalam kereta sejak jam 9 pagi hingga jam 1 tengah hari.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat.

Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan semoga kes ini menjadi ingatan buat semua ibu bapa agar sentiasa berhati-hati supaya tidak berulang perkara yang sama.