[TERKINI] Koronavirus: Lapan Warga China Dikuarantin di Hotel di Johor Bahru

Singapura baru saja sahkan satu kes semalam di mana seorang warga China diuji positif wabak koronavirus sekali gus menjadi mangsa pertama wabak koronavirus di negara itu.

Lelaki berusia 66 tahun berasal dari Wuhan, China tiba di Singapura bersama sembilan rakan lain, pada Isnin dan menginap di Resort Shangri-La Rasa Sentosa.

Hari ini kita dikejutkan di mana seramai lapan orang yang merupakan satu kumpulan bersama lelaki itu telah memasuki Malaysia melalui sempadan Johor.

Menerusi laporan Sinar Harian, kesemua lapan warga China yang tiba bersama seorang mangsa positif wabak koronavirus di Singapura telah dikuarantinkan di sebuah hotel di Johor.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, kesemua pelancong itu yang tiba di negara semalam telah diasingkan dan dipantau lanjut oleh pasukan kesihatan.

Mereka semua diasingkan di dalam sebuah hotel di Johor Baharu dan akan dikuarantin sekurang-kurangnya seminggu.

Walaubagaimanapun, beliau tidak menyatakan nama hotel tersebut.

“Mereka diasingkan di sebuah hotel di Johor Baharu dan sedang dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.”

Tambah beliau, kelapan-lapan pelancong tersebut bukanlah pesakit tetapi sebagai langkah berjaga-jaga mereka perlu diperiksa.

“Mereka bukanlah pesakit tetapi kita perlu melihat sama ada berlakunya tanda-tanda simptom atau tidak kerana mereka ada kaitan dengan kes dari mangsa di Singapura itu,”

Malah, Boon Chye mengesahkan negara kita masih lagi bebas daripada wabak tersebut.