“Terima kasih..” Dr Noor Hisham Sebak Khidmat ‘Panglima Perang’ Melawan Covid-19 Berakhir

Hari ini merupakan hari yang paling menggembirakan seluruh rakyat Malaysia kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah tamat semalam dan digantikan dengan PKP Pemulihan (PKPP).

Pastinya ramai rakyat Malaysia menyambut kemenangan ini dengan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk melepaskan rindu dengan ibu ayah tercinta.

Walau bagaimanapun bagi hero kita, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, hari ini juga adalah hari yang sedih buat dirinya serta pasukan kesihatannya.

Kelegaan selepas hanya dua kes jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, berubah sebak apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengumumkan persaraan seorang daripada ‘panglima perangnya’.

Saban hari, setiap kali memulakan sidang medianya, Dr Noor Hisham akan sentiasa memperkenalkan nama Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon serta barisan ‘panglima’ lain sebelum membacakan laporan kes harian.

Petugas media dan kakitangan KKM turut terkesan dan merasai kesedihan Dr Noor Hisham apabila suaranya bertukar sebak ketika menyampaikan penghargaannya kepada Dr Rohaizat.

Hari terakhir Panglima Perang

“Dengan berat hati, saya ingin memaklumkan, hari ini adalah hari terakhir seorang panglima perang saya iaitu Datuk Dr Rohaizat Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan).

“Selepas berkhidmat selama 35 tahun 10 hari, beliau bersama-sama mengharungi dan memerangi COVID-19 telah bersara wajib.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Dr Rohaizat atas komitmen yang tinggi sepanjang perkhidmatan beliau kepada rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Pengalaman paling sukar

Bagi Dr Rohaizat, bulan-bulan terakhir sebelum menamatkan perkhidmatan dengan KKM hari ini disifatkannya sebagai pengalaman paling sukar bersama-sama ketuanya dan seluruh warga kementerian berdepan dengan jangkitan wabak COVID-19 sejak Disember tahun lalu.

Beliau berkata, jawatan terakhirnya dengan KKM memerlukan beliau memastikan setiap hospital KKM di seluruh negara mempunyai kelengkapan mencukupi, termasuk mesin alat bantuan pernafasan, katil dan ubatan.

“Saya bertanggungjawab terhadap hospital, peralatan termasuk katil dan alat bantuan pernafasan serta ubat. Pernah satu ketika pada awal jangkitan kita hanya ada bekalan N95 untuk sehari, manakala ada hospital kehabisan peralatan.

“Bayangkan kakitangan KKM terpaksa ke medan perang tanpa senjata. Kita dapat mengharunginya dengan baik dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi saya, kita bernasib baik kerana lambat dilanda jangkitan wabak ini iaitu selepas China dan Singapura kerana kita dapat bersedia,” katanya.

Ditanya apa yang akan dilakukan selepas bersara, anak kelahiran Parit Sulong, Johor itu mahu berehat seketika sebelum memikirkan perancangan seterusnya.

Saya akan bermimpi indah

“Mungkin selepas ini kalau saya bermimpi, saya akan bermimpi indah, bukan lagi mimpi COVID-19,” katanya.

Dr Rohaizat yang dilahirkan pada 11 Jun 1960, adalah graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1985 dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam Perancangan Kesihatan daripada University of New South Wales pada 1991 sebelum ditauliahkan Doktor Falsafah dalam bidang Kesihatan Awam / Ekonomi Kesihatan dari UKM pada 2007.

Bapa kepada tiga anak perempuan hasil perkahwinan dengan Datin Fasidah Othman, 59, itu memulakan kerjayanya pada 1985 sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor sebelum dilantik sebagai Pengarah Hospital Kluang antara 1988 hingga 1990.

Dr Rohaizat berpindah ke ibu pejabat KKM bermula 1990 dan memegang pelbagai jawatan kanan dalam kementerian itu sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) pada 25 Mac 2019.

Dr Rohaizat pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Perubatan, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perubatan dan Pengarah di Bahagian Perancangan KKM sehingga 2019.