Pesakit Terakhir Sembuh, New Zealand Isytihar Bebas Covid-19

New Zealand telah mengisytiharkan negara tersebut kini bebas daripada COVID-19 selepas tiada jangkitan baru dicatatkan dan pesakit terakhir yang dirawat di hospital dilaporkan sembuh serta dibenarkan pulang pada Isnin.

Menerusi laporan The Guardian, Perdana Menterinya, Jacinda Ardern berkata, negara itu turut akan menarik semula sekatan-sekatan yang dikenakan sebelum ini, kecuali pembukaan semula sempadan negara.

”Kami sudah bersedia. New Zealand bersatu dalam cara yang tidak pernah difikirkan untuk berdepan dengan virus ini”, kata beliau.

Jacinda Adern on June 8.

Sebelum ini Jacinda telah menerima pujian antarabangsa dan juga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diatas tindakan cekapnya mengemudi negara kiwi itu dengan langkah-langkah berhati-hati tetapi tegas dan bersesuaian.

Jacinda turut berkata, bermula tengah malam Isnin, warga New Zealand boleh kembali menjalani kehidupan yang normal.

New Zealand telah mencatatkan sebanyak 1,504 kes dan 22 kematian disebabkan oleh wabak COVID-19.

Dalam pada itu, di negara kita, Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hariannya sebentar tadi berkata, buat pertama kalinya tiada jangkitan baru COVID-19 melibatkan warga Malaysia dilaporkan hari ini.

Malah, bermula tengah malam ini, Malaysia memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyaksikan beberapa kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan termasuklah kebenaran untuk merentas negeri.

Aliran trafik terutamanya di lebuh raya dijangka akan meningkat bermula esok.