Tak Sampai Setahun, Nonny Nadirah Sahkan Sudah Berpisah Dengan Suami.

Sebelum ini, pelakon Nonny Nadirah mendapat perhatian para peminatnya apabila beliau memuatnaik sekeping gambar di laman instagramnya.

Pada ketika itu Nonny baru pulang dari menunaikan ibadah Umrah dan memuatnaik gambarnya bersama Heliza Helmi dengan imej bertudung.

Fotonya itu sehingga kini telah menerima lebih 10 ribu likes daripada para peminatnya di Instagram.

Terbaru, Nonny Nadirah akhirnya membuat pengakuan tentang status rumahtangganya. Menurut laporan BHarian, Nonny Nadirah bercerai dengan suaminya, tanpa mendedahkan tarikh perpisahan mereka.

Nonny atau nama lengkapnya, Nonny Nadirah Zainuddin, 29, mengakui, berat untuk dia meluahkan perkara itu kepada umum.

Pelakon yang popular menerusi drama Istikharah Cinta itu berkata, dia dan bekas suaminya mengambil keputusan untuk tidak lagi tinggal sebumbung pada Oktober lalu.

“Mungkin sudah ditakdirkan jodoh kami tidak panjang. Tidak timbul isu orang ketiga, sebaliknya ia berpunca daripada kelemahan dan kekurangan diri masing-masing.

“Maaf, buat sementara waktu, saya belum bersedia untuk mendedahkan tarikh sebenar kami berpisah. Bukan ini jalan yang kami mahukan, tetapi kami tidak mampu melawan qada dan qadar.

“Kami tidak boleh memaksa hati untuk meneruskan perkahwinan, bimbang nanti akan memudaratkan diri. Selepas membuat solat istikharah, saya mendapat petunjuk dan ini jalan yang terbaik buat kami berdua,” katanya dalam satu pertemuan, kelmarin.

Nonny dan bekas suaminya, Mustain Adnan dikatakan sudah memadam semua gambar serta video mereka bersama di laman sosial, Instagram sekaligus menimbulkan spekulasi tentang keretakan rumah tangga mereka.

Khabar angin itu kian bertiup kencang apabila Nonny berangkat ke Tanah Suci Makkah pada pertengahan Januari lalu tanpa suaminya sebagai mahram.

Nony ke sana bertemankan bapa saudaranya dan dilihat kerap memuatnaik gambarnya sendirian.

Walaubagaimanapun, bagi Nonny keputusan untuk membawa haluan masing-masing bukan sesuatu yang mudah.

Ini kerana usia perkahwinan mereka masih baru lagi. Bagi Nonny, dirinya sendiri perlu akur dan berterus terang supaya tidak menimbulkan fitnah dan salah sangka terutama kepada peminatnya.

“Siapa yang berkahwin untuk bercerai? Namun, saya tahu Allah sentiasa ada bersama dan Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kami berdua.

“Perpisahan ini juga membuatkan saya lebih dekat dengan Allah. Semua yang terjadi mengajar saya supaya lebih matang menangani setiap masalah dan berusaha membentuk diri ke arah yang lebih baik,” katanya.

Nonny dan suaminya mendirikan rumah tangga pada 18 Mac 2018 di Kota Kinabalu, Sabah, selepas sembilan tahun berkenalan.

Ini bermakna usia perkahwinan mereka tidak sampai satu tahun lagi. Semoga Nonny Nadirah tabah dan mampu istiqamah dalam hijrahnya.