“Tak pernah ‘request’ nak dukung..” Isu Dukung Heroin, Zul Arifin Tampil Jelaskan Perkara Sebenar

Nama Zul Ariffin sememangnya tidak asing lagi dalam industri hiburan Malaysia. Dia juga telah menjadi perbualan hangat di kalangan netizen sejak beberapa bulan yang lepas. Tular dengan video panas babak mendukung dengan seorang wanita masih lagi diperkatakan sehingga kini.

Seorang pelakon terkenal berbadan sasa dan menjadi kegilaan ramai wanita, Zul Ariffin atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin ini tampil menjelaskan isu berkenaan dirinya kerana namanya sering kali dikecam dan dijadikan bahan oleh warga netizen di media sosial.

Memetik laporan Media Hiburan, dia mengatakan babak yang dilakonkan dalam mana-mana naskhah adalah tidak lebih dari sekadar tuntutan kerja. Tambahnya lagi dia tidak pernah meminta untuk melakukan babak dukung heroin. Sepanjang penglibatannya dalam karier lakonan adalah daripada arahan dan skrip yang diberi.

“Saya datang set penggambaran, salam heroin pun tidak. Tapi sekarang ini saya dibahanlah (dikritik). Kalau Zul saja mesti ‘dukung… dukung’.”

“Bukanlah dikatakan sebagai mangsa, tetapi itu ‘permainan’ industri. Saya boleh ‘bermain’ mengenai perkara itu, saya tak kisah. Tetapi mampukah pelakon lain ‘bermain’ benda yang sama” katanya.

Pelakon ini turut memetik kontroversi berkenaan dirinya setelah lama berdiam diri berkenaan isu tersebut. Dia berkata ada drama yang lain sudah disunting dan babak dukung lepas untuk ditayangkan kepada umum.

“Sampai berapa lama nak begitu, bolehkah mereka bertahan. Macam contoh apa yang pernah terjadi pada saya beberapa bulan lepas mengenai satu video tular.

“Video berkenaan belum pun lagi ditayangkan di televisyen, hanya di sosial media saya dan sudah dipadam. Tapi ada drama lain yang sudah disunting dan ditayangkan dah pun (babak dukung). Ia lepas.

“Kalau macam tu, boleh cakaplah ‘diaorang pun boleh cakap untuk tolak, tapi pilih sedap.’ Kenapa cakap begitu pada saya saja.” ujarnya.

Walaupun dirinya sudah lama dalam bidang pelakon, Zul tetap menghormati pandangan pelakon yang lain dan tidak melatah dengan kata-kata yang diberikan.

“Jadi bila ada yang bercakap sedemikian, saya diam sahajalah. Sebab saya jenis yang hormat pelakon lain. Malah orang cakap teruk pada saya pun, saya boleh hormat pada orang lagi,” katanya.

Selepas 15 tahun penglibatannya dalam industri lakonan, Zul Ariffin bakal mengundurkan diri dari berlakon drama dan hanya mahu fokus di layar perak sahaja.

“Saya ambil keputusan untuk tidak terlalu aktif berlakon drama sebab ada ketikanya mereka yang berada di set tidak begitu serius. Meski tidak semua begitu tetapi ia berlaku.

“Jadi bila saya tengok ‘permainan’ begitu, saya tidak mahu salahkan siapa-siapalah. Jadi saya rasa macam…tak bolehlah. Dah lama dah ‘main game’ ni. Undur diri sekejaplah.” tambahnya lagi kepada Media Hiburan.

Zul juga turut bersyukur dengan rezeki dan masih boleh lagi aktif dalam bidang lakonan kerana ada platform lain untuk dirinya.

“Apa pun saya bersyukur kerana masih lagi dapat tawaran lakonan selain beberapa projek lain. Saya pun sudah berusia 36 tahun, sudah berlakon bertahun-tahun.

“Sekurang-kurangnya saya saya bertuah kerana ada platform lain yang saya boleh pilih iaitu untuk ke arah filem, naskhah premium dan sebagainya,” jelasnya.