“Tak mampu beli baju raya baru untuk anak-anak” Keluarga Ini Tetap Gembira Pilih Baju Bundle

Tidak semua dari kita bernasib baik. Ada ramai diluar sana masih gigih berusaha demi meneruskan kelangsungan hidup.

Menerusi satu perkongsian oleh pengguna Facebook yang bernama Abd Ghani Haron yang bercerita mengenai sebuah keluarga yang datang memilih baju terpakai sempena Hari Raya.

Tetap bersyukur dan gembira walau pakaian terpakai

Kisah ini mengenai sepasang suami isteri bersama anak gembira memilih pakaian hasil sumbangan ramai.

Walaupun pakaian itu merupakan pakaian terpakai, namun mereka bersyukur dapat memakaikan anak mereka pakaian baru.

Sebuah kisah akhir Ramadhan buat renungan

“Petang menjelang 1 syawal yang lalu, kami menerima kunjungan sebuah keluarga kecil yang datang untuk memilih pakaian terpakai yang digantung di bawah bumbung di luar pagar”.

“Pasangan suami isteri itu tampak berpakaian lusuh, si suami mengendong anak lelaki yang tidak berbaju, manakala si isteri memegang tangan anak perempuan lingkungan usia 8 tahun”.

Tawa riang anak kecilnya ketika mencuba baju

“Mereka begitu tekun membelek helaian baju yang digantung. Sekejap-sekejap kedengaran tawa riang anak perempuan kecil itu bila ibunya mengacu baju ke badannya”.

“Barangkali gembira beroleh pakaian baru yang sesuai. Saya dan isteri kebetulan berada di luar rumah selepas melawat ibu kami”.

“Isteri saya menegur mereka dan bertanya dari mana mereka datang. Nyata mereka datang dari sebuah kawasan perumahan flat di sungai petani yang jaraknya hampir 20km dari rumah kami”.

Kak, saya tak mampu beli pakaian baru untuk anak sempena raya

“Bila ditanya kenapa datang begitu jauh, jawapan si ayah membuat saya bungkam”.

“Kak, saya tak mampu nak beli pakaian baru untuk anak-anak sempena hari raya ini”.

“Cukuplah saya dapatkan pakaian terpakai ni untuk gembirakan hati anak kami, lagipun baju-baju di sini nampak masih elok untuk dipakai”.

“Kata- kata ini membuat saya merenung betapa seringkali kita lupa untuk mensyukuri nikmat yang dikurniakan, meminta-minta untuk mendapatkan yang lebih”.

“Sedang ada manusia yang serba kekurangan memanjatkan syukur yang amat pada rezeki yang tidak seberapa di mata kita”.

Keluarga ini bahagia memilih pakaian terpakai

“Sedang kita asyik mendongak memandang ke langit, cemburu melihat apa yang tidak mampu dicapai, kita lupa menunduk ke bawah merenung apa yang di bumi, mensyukuri apa yang telah dikecapi”.

“Ketika kita merungut tidak boleh beraya dan bergaya sakan dengan baju raya tahun ini dek kerana pkp, keluarga ini cukup bahagia memilih gantungan pakaian terpakai untuk menyambut hari raya”.

Riak wajah gembira layan anak-anak pilih baju

“Seolah tiada gundah di hati mereka pada riak wajah yang gembira melayan anak-anak memilih baju terpakai”.

“Demikianlah rasa cukup apa yang ada yang melahirkan ketenangan pada jiwa-jiwa yang bersyukur”.

“Untuk makluman, Projek sedekah pakaian terpakai ini telah berlangsung hampir 9 tahun. Ia telah menjadi saksi beribu-ribu pakaian bertukar tangan”.

Beribu hati gembira sarung hasil sumbangan 

“Beribu-ribu hati yang gembira dan berbunga menyarung pakaian hasil sumbangan anda para dermawan”.

“Sehingga kini, kami masih menerima sumbangan pakaian terpakai untuk disedekahkan”.

“Malah ada juga yang menyumbangkan periuk, pinggan mangkuk, kasut, buku cerita dan kelengkapan bayi seperti stroller dan child car seat”.

Sumbangan boleh disalurkan di alamat ini

“Sumbangan boleh disampaikan dengan datang sendiri ke rumah Cikgu Ghani ( sebelum jam 6petang) di Tikam Batu atau poskan ke alamat 318B, Kg Masjid, 08600, Tikam Batu, Kedah”.

Semoga sedikit sumbangan dari kita mampu melahirkan senyuman di wajah mereka yang memerlukan.