Suspek Kes Tikam Dan Gilis Di JB Ditahan Reman Seminggu

SEORANG lelaki dan seorang wanita yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan tragik lelaki di stesen minyak Taman Pelangi, Johor Bahru, Ahad lalu, direman seminggu.

Mereka yang ditahan semalam direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Turut ditahan reman sehingga 27 Disember ini, empat lagi lelaki yang ditahan awal pagi ini.

Difahamkan, semua lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan di sekitar Johor Bahru, pagi tadi juga bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Sementara itu, selepas tiga hari berada di Pusat Peringatan Nirvana di Jalan Skudai, Johor Bahru, mendiang mangsa pembunuhan itu dibawa ke Taman Peringatan Jelutong, Melaka untuk disemadikan.

Mendiang dibawa pada 9.50 pagi selepas ahli keluarga selesai memberi penghormatan terakhir.

Sumber: Harian Metro