“Suspek bawa mangsa ke rumahnya untuk perubatan Islam,” Pendakwah Selebriti Direman Kes Rogol

Seorang pendakwah selebriti direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes merogol seorang wanita di sebuah rumah di Seksyen 7 Shah Alam, pada tahun lalu.

Menerusi laporan Kosmo! Online, suspek yang berusia 25 tahun hadir ke kompleks Mahkamah Shah Alam pagi tadi dan diwakili peguam Syed Amirul Syed Edrus.

Perintah reman terhadap suspek yang juga bekas peserta sebuah program realiti dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Mohd. Zamir Suhaimee.

Terdahulu, suspek yang juga penceramah bebas dan penyanyi ditahan pukul 11 malam tadi selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Siasatan awal mendapati mangsa keluar dengan lelaki itu yang dikenalinya menerusi laman sosial Instagram pada 11 September tahun lalu.

“Tujuan pertemuan itu adalah bagi berbincang berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi mangsa dengan kaedah perubatan Islam,” kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Difahamkan, suspek seterusnya membawa mangsa makan di kedai makan di Batu 3, Shah Alam dan kemudian ke rumahnya.

Beliau berkata, ketika berada di rumah tersebut, mangsa dirogol dan tidak berdaya untuk melawan selain mangsa juga tidak tahu cara keluar dari tempat berkenaan.

Justeru, mangsa dikatakan mengalami tekanan perasaan serta trauma sehingga perlu mendapatkan rawatan psikiatri di hospital.