“Sudah tiba masanya untuk nilai kompaun itu dinaikkan,”

Bilangan kes positif Covid-19 yang dilihat semakin meningkat setiap hari biarpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan ternyata sangat membimbangkan.

Oleh itu, menerusi satyu kenyataan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Menerusi laporan Bernama, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, yang kebanyakannya membabitkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Menurutnya, lebih memburukkan lagi keadaan apabila ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri tanpa alasan yang kukuh.

“Sekiranya kompaun RM1,000 itu dianggap kecil maka mereka yang degil ini pasti akan menerima padah apabila arahan menaikkan nilai kompaun ini diwartakan. Sudah tiba masanya untuk nilai kompaun itu dinaikkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, anggotanya sudah diarahkan untuk mengeluarkan saman kepada mereka yang ingkar tanpa memberi ruang dilepaskan dengan amaran.

Abdul Hamid berkata, sepanjang menjalankan tugas ketika PKP dilaksanakan, seramai 474 warga PDRM positif Covid-19 manakala 1,628 lagi sudah menjalani kuarantin.

“Amat menyedihkan apabila petugas barisan hadapan yang dijangkiti ini terpaksa dirawat oleh satu kelompok lagi petugas barisan hadapan di hospital,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen media sosial mendapati rata-rata netizen tidak setuju dengan cadangan tersebut.

Malah, pihak berkuasa sepatutnya menumpukan pada penguatkuasaan terhadap industri yang tidak mematuhi SOP sehingga menyebabkan kewujudan kluster baru.

Sehingga kini, kes Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak dengan jumlah kes harian baharu menghampiri 6,000 apabila sebanyak 5,728 kes dilaporkan semalam.