Suami Tak Perasaan Kereta Dalam Keadaan Bergear, Isteri Maut Dirempuh

Malang tidak berbau. Begitulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan betapa pantasnya kemalangan boleh berlaku di sekitar kita tanpa kita sempat membuat apa-apa persediaan.

Siapa sangka, di rumah sendiri juga boleh terjadinya kemalangan yang tidak kita inginkan atas kecuaian sendiri. Oleh itu, kita dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan peka dengan keadaan sekeliling.

Di Sungai Petani semalam, seorang warga emas wanita dilaporkan maut gara-gara tidak sengaja dilanggar oleh suaminya. Kejadian dipercayai berlaku di Kampung Bukit Tukang Jusoh.

Menurut sumber, suami mangsa tidak sedar bahawa kereta yang dihidupkannya masih dalam keadaan bergear, secara tidak langsung terlanggar mangsa yang berada di hadapan.

Mangsa, 69 tahun disahkan maut di tempat kejadian selepas terperosok di bawah kereta berkenaan. Sebelum kejadian, difahamkan mangsa bersama suaminya, 76 tahun baru pulang dari majlis kenduri kahwin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal polis mendapati bahawa suami mangsa baru menghidupkan enjin kereta jenis Proton Iswara Aeroback dan tidak menyedari kenderaan itu masih dalam keadaan ‘bergear’, menggelongsor lalu melanggar mangsa yang ketika itu berada di hadapan kereta.

“Akibat pelanggaran itu mangsa terperosok di bawah kereta dan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bedah siasat. Kes disiasat kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.