Mahkamah Menolak Permohonan Rosmah, Bantah Singkir Hakim Mahkamah Tinggi

Kes penyelewengan kuasa dan wang bukan suatu perkara luar biasa yang kita dengar. Hal ini demikian kerana kes jenayah kolar putih ini berlaku di seluruh dunia.

Memetik laporan Bernama, pihak pendakwaan telah membantah permohonan Rosmah Mansor supaya Hakim menarik diri daripada mendengar kes rasuah Projek Solar.

Difahamkan pada hari ini, isteri kepada bekas Perdana Menteri itu sebelumnya telah memohon agar Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya yang melibatkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan telah membantah permohonan tersebut.

Datin Seri Rosmah Mansor telah memfailkan permohonan itu di saat akhir atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos yang lalu berkaitan dengan berlakunya kebocoran penghakiman kes itu yang disediakan oleh pihak yang tertentu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram menyatakan bahawa ‘penghakiman’ bocor yang dikatakan oleh Rosmah pemohon bukannya penghakiman bertulis.

“Jelas daripada dokumen itu sendiri bahawa ia adalah penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” terang beliau.

Susulan itu, Sri Ram menjelaskan bahawa permohonan itu sepenuhnya bergantung kepada keterangan dengar cakap serta niat jahat.

Selain itu, pemohon juga tidak mengemukakan sebarang bukti yang boleh dipercayai dan kukuh untuk menyokong tuduhannya yang berat sebelah dan tidak wajar terhadap Hakim Mohamed Zaini.

“Kami sedia berhujah dan kami membantah sebarang permohonan penangguhan dan penyampaian penghakiman. Jika mereka tidak bersedia, kami minta ia (permohonan) ditolak,” balas Sri Ram berhubung isu penolakan permohonan berkenaan.

Kenyataan di atas telah dikeluarkan oleh beliau ekoran sebagai jawapan untuk permohonan peguam Datuk Jagjit Singh supaya menangguhkan prosiding permohonan itu disebabkan mereka memerlukan lebih masa untuk mengumpulkan fakta.

Perkara tersebut telah disebut oleh peguam ketika prosiding bermula pada jam 9:28 pagi.

Jagjit turut menjelaskan bahawa pihak pembelaan memerlukan masa untuk menjawab afidavit yang boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn yang membantah permohonan Rosmah.

Menurut Hakim, pihak pembelaan telah memfailkan sijil perakuan segera biasanya bermakna perkara itu harus didengar secepat yang mungkin.

“Jika tidak pada hari yang sama, ia harus didengar pada hari berikutnya. Apabila kamu memfailkan sijil perakuan segera sehari sebelum hari Merdeka, saya telah mengarahkan pegawai saya supaya menyediakan prosiding hari ini,” kata beliau.

Dikatakan, Hakim turut bertanya kepada pihak pembelaan idea siapa permohonan itu difailkan dan Jagjit hanya menjawab, “Kami bertindak atas arahan.”

“Kamu mahu (prosiding) permohonan itu ditangguhkan ke hari lain? Permohonan ini akan bersifat akademik selepas saya menyampaikan keputusan saya,” jelas Hakim.

Hakim juga telah mengambil maklum bahawa kononnya penghakiman ditulis oleh pihak ketiga bagi pihaknya dibuat atas dakwaan dalam permohonan agar beliau menarik diri.

Namun begitu, Hakim itu menerangkan bahawa hanya beliau seorang sahaja yang akan menjawab perkara itu dan meminta pihak pembelaan berhujah mengenai permohonan tersebut sebelum menangguhkan prosiding itu.

“Saya akan tunggu. Beritahu saya apabila sudah bersedia,” jelasnya.

Hakim akhirnya dijadualkan untuk menyampaikan keputusan kes itu pada hari ini.