Siri Jelajah Konsert Justin Bieber Di Malaysia Dibatalkan, Perlu Utamakan Kesihatan Diri

Di kala wabak COVID-19 semakin pulih, rata-rata acara diadakan semula untuk orang ramai di seluruh dunia seperti konsert, festival dan seumpamanya. Begitu juga dengan Malaysia, tidak terkecuali dalam hal ini.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini konsert penyanyi antarabangsa Justin Bieber dikatakan telah membatalkan siri jelajah konsertnya itu, ‘Justice World Tour’ termasuklah negara Malaysia.

Terdahulu, Justin pernah mengumumkan bahawa dia menangguhkan siri jelajah konsertnya itu disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya namun dikhabarkan bakal dilangsungkan semula.

Sindrom Ramsay Hunt, iaitu masalah kesihatan yang menyebabkan penghidapnya mengalami kelumpuhan pada wajahnya.

Berdasarkan hantaran yang dibuat oleh Justin di laman Instagramnya kira-kira tiga jam lalu, Justin telah mengumumkan pembatalan ‘baki’ siri jelajah dunia di beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Difahamkan, konsert siri jelajah di Malaysia oleh Justin Bieber itu sepatutnya dilangsunngkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada bulan depan.

“Awal tahun ini, saya umumkan perjuangan melawan sindrom Ramsay Hunt yang mengakibatkan sebahagian daripada muka saya lumpuh.

“Berikutan itu, saya tidak dapat menghabiskan siri jelajah, Justice World Tour di utara benua Amerika.

“Hujung minggu lalu, saya beraksi di Festival Rock In Rio dan memberi segala-galanya kepada peminat di Brazil.” jelas Justin.

Penyanyi lagu tular ‘Stay’ itu menyatakan bahawa sejak beliau kembali beraksi di konsert siri jelajahnya itu, dirinya mengalami kesan kesakitan yang dihidapinya walaupun beliau sudah berehat buat seketika dan telah mendapat nasihat daripada doktor.

Akhirnya, dia memutuskan untuk terpaksa membatalkan Justice World Tour setelah mendapati keletihan mementaskan konsert mempengaruhi kesihatan dirinya dan kesihatannya perlu diutamakan pada saat ini.

“Sehubungan itu, saya akan berhenti daripada beraksi di konsert buat sementara waktu.

“Saya akan okay tetapi perlukan masa untuk berehat dan pulihkan kesihatan,” terangnya.

Biarpun demikian, Justin Bieber turut meluahkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua peminatnya di serata dunia yang selama ini menantikan kehadirannya di negara masing-masing.

Menerusi kenyataan Justin, dia berasa bangga kerana dapat mementaskan siri jelajah dunia itu dan berkongsikan momen yang berunsurkan mesej positif bersama para peminatnya.

“Terima kasih atas doa dan sokongan anda selama ini. Saya sangat sayangkan kamu,” kata penyanyi Kanada berusia 28 tahun itu.

 

Hantaran yang tular:

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Justin Bieber (@justinbieber)