“Siapa suruh selalu beli aiskrim saya?” Berhenti Jadi Juruteknik & Jual Aiskrim, Lelaki Tak Sangka Bertemu Jodoh Dengan Pelanggan Sendiri

Sejak-sejak tular satu trend di TikTok, ramai yang mendedahkan cara pertemuan mereka dengan pasangan sehinggalah ke tahap bergelar suami isteri yang sah.

Iospital phone repair gombak

Terhibur bila tengok pengguna TikTok berkongsi kisah masing-masing. Bak kata orang, kalau jodoh tak kemana.

Seperti yang tular baru-baru ini, kisah seorang lelaki penjual aiskrim yang bertemu jodoh dengan salah seorang pelanggannya, membuatkan netizen turut berasa ingin meniaga aiskrim!

Menurut pemilik video di TikTok ini, Abdul Walid Saffine, kisah percintannya bersama isteri bermula apabila ‘pelanggannya’ sering membeli aiskrim yang dijual.

“Siapa suruh beli aiskrim saya, kan dah kahwin dengan saya,” tulisnya di dalam video berkenaan.

Kata lelaki berusia 25 tahun itu, pertemuan antara dia dengan isteri, Nurulhuda Jamidi, 23, bermula selepas dia nekad untuk berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta.

Kebetulan, rakannya pula berhenti berniaga dan ingin menjual segala peralatan yang digunakan.

“Saya tak rancang pun nak jual aiskrim tapi sebab kawan saya nak berhenti berniaga, jadi saya membeli kesemua peralatannya dan mula menjual aiskrim menaiki motosikal.

“Pada masa sama, saya memang berhasrat untuk menamatkan zaman bujang dalam lingkungan usia 24 tahun… tapi tiada calon.

“Jadi saya berusaha mencari pasangan dan antara platform yang digunakan adalah Facebook. Mulanya, saya chat dengan mana-mana perempuan yang saya berkenan sehinggalah satu hari pada tahun 2020, saya berhubung dengan wanita yang kini menjadi isteri.

“Dia sememangnya sudah mengetahui yang saya menjual aiskrim,” kata anak kelahiran Kuantan, Pahang ini.

Malah, jarak rumah mereka tidak begitu jauh dan tahu tempat tinggal wanita idamannya. Oleh itu, dia mula menjual aiskrim di sekitar kawasan perumahan isterinya yang bertugas sebagai guru taska.

“Saya jual aiskrim dan setiap kali lalu di kawasan perumahannya, dia akan beli aiskrim.

“Biasalah… apabila dah berkenan, saya akan beri aiskrim percuma atau diskaun,” luahnya teruja.

Enggan mengambil masa yang lama selepas sering berhubung, Walid memberanikan diri untuk melamar.

“Lama-kelamaan saya cuba melamar dia dan tak sangka diterima. Apabila terima, makin keraplah saya lalu depan rumah dia… kerana masa tu saja saya dapat jumpa dan kami tak pernah keluar berdua pun.

“Perhubungan semakin serius apabila dia memaklumkan tentang hubungan kami berdua kepada kedua orang tuanya.

“Apabila mendapat respons positif, saya menghantar rombongan merisik dan meminang. Kami kemudiannya disatukan pada Oktober 2021,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Walid turut menzahirkan rasa syukur kerana keluarga mentua menerima dia dan pekerjaannya sebagai penjual aiskrim.

“Saya rasa bersyukur dengan penerimaan isteri dan keluarga sedangkan saya hanya penjual aiskrim. Malah ayahnya pernah berkata bahawa dia tidak peduli anak menantu kerja apa asalkan mencari rezeki halal.

“Alhamdulillah… berkat jualan aiskrim itulah saya berjaya mengumpul duit untuk berkahwin dan kini berjaya membuka cafe sendiri, Smootea,Taman Tas pada 17 Disember lalu,” jelasnya yang sudah berhenti menjual aiskrim berikutan kos barangan yang semakin mahal.

Video yang tular di laman TikTok

@walidsaffineKan dah kawin haaa..♬ suara asli – hierapsz.