“Setiap hari saya tunggu…” 5 Kucing ‘Lesap’ Dalam Seminggu, Pemilik Syak Sesuatu Yang Tidak Kena

Apbila kita menjaga haiwandengan baik walaupun haiwan itu adalah haiwan jalanan, pastinya kita akan berasa sedih bila mana mereka hilang dari pandangan malah tidak dapat dikesan.

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang wanita ini buntu apabila kucing yang dirawat dan dijaga hilang satu persatu.

Memetik laporan mStar, kelima-lima ekor si bulus hilang secara serentak dalam tempoh seminggu sekali gus membuatkan si pemilik berasa hairan dan curiga lebih-lebih lagi tiada bangkai yang ditemui selepas pencarian dilakukan.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Farah, kelima-lima ekor kucingnya yang hilang adalah kucing jalanan yang menjadikan rumahnya sebagai persinggahan, sebelum dia akhirnya mengambil keputusan untuk memelihara haiwan berkenaan.

“Rumah saya dekat kawasan lereng bukit dan bersebelahan dengan jalan raya. Memang selalu sangat kucing datang. Tak pasti kucing-kucing ni orang buang atau apa tapi kiranya ‘stray cat’.”

“Saya rasa apa salahnya berkongsi rezeki. Bermula dari beri makanan, kemudian kalau ada yang sakit saya hantar pergi veterinar. Saya siap vaksinkan dan sunatkan sebab nak kawal pembiakan.”

“Daripada situ, saya jatuh sayang dan pelihara macam kucing peliharaan sendiri. Bila kita jaga dengan baik, memang sedihlah bila hilang,” ujar wanita berusia 27 tahun yang menetap di Taman Mawar Perdana, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Farah juga memaklumkan abangnya siap membina pondok kayu kecil bagi kucing jalanan ini berteduh.


“Kucing-kucing jalanan peliharaan saya hanya dilepaskan seketika untuk bermain. Sebab sini kawasan perumahan, bimbang pula ada yang tidak senang kalau biar berkeliaran.”

“Sepanjang pelihara mereka, pernah juga ada yang hilang sekejap tapi mereka muncul semula dua, tiga hari kemudian. Tapi kali ini, dah sebulan ghaib.”

“Mula-mula tiga ekor ghaib, kemudian seekor demi seekor hingga semuanya lima ekor ghaib hanya dalam masa seminggu. Saya dah cari merata tapi tak nampak langsung kelibat. Bangkai pun tak jumpa, sebab itu macam pelik.”

“Saya enggan berprasangka buruk. Tapi kalau ada orang terjumpa dan tolong pelihara, saya tak kisah dan halalkan. Saya cuma tak boleh terima kalau ada yang buang atau buat sesuatu pada kucing-kucing ini,” ujarnya lagi.

Dek kerana tidak tahu apa lagi cara yang perlu dilakukan, Farah akhirnya mengambil keputusan untuk membuat hebahan di media sosial bagi memohon jasa baik orang ramai dalam usaha mencari kucing-kucingnya.

“Rumah saya tiada kamera litar tertutup (CCTV) jadi memang tak tahu lagi nak usaha macam mana sebab dah cari merata tempat. Sebab itu saya buat hebahan di media sosial.

“Saya berharap sangat jumpa kucing-kucing ini dalam keadaan selamat. Setiap hari tunggu mereka.

“Saya mohon jika ada antara kita yang kalau tak suka kucing sekali pun, jangan aniaya mereka. Kucing pun makhluk Allah, ia layak dapat kasih sayang.

“Boleh saja berterus terang atau jumpa tuan kucing untuk suarakan rasa tidak puas hati. Tapi usahlah aniaya mereka,” ujarnya lagi.

Perkongsian yang tular di laman Facebook: