Sempena Ramadhan, Ronaldo Derma RM6.3 Juta Untuk Palestin

Para peminat bola sepak pastinya mengenali dan menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai idola.

Ronaldo sering mengundang rasa kagum, bukan hanya kerana kehebatannya di atas padang tetapi juga sikap pemurah dan suka melakukan kerja-kerja amal.

Terbaru, sempena menyambut Ramadhan tahun ini, bintang penyerang Kelab Juventus itu telah menyumbang AS$1.5 juta (~RM6.3 juta) kepada Palestin menerusi Yayasan Kebajikan Onwadan.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama pemain berusia 34 tahun itu mengambil berat tentang nasib rakyat Palestin.

Menerusi agensi berita Sepanyol, TeleSur, penyerang Portugal itu memang mempunyai hubungan istimewa dengan rakyat Palestin, dan sudah banyak kali memberikan sumbangannya.

Meskipun Ronaldo tidak menguar-uarkan kerja amal yang dilakukan, namun perkara itu akhirnya diketahui selepas tersebar di media sosial.

“Cristiano Ronaldo menyumbang AS$1.5 juta kepada rakyat Palestin Gaza.

“Di sebalik setiap orang yang berjaya, cuba lihat ke mana dia menunjukkan penghormatannya,” tulis Yayasan Kebajikan Onwadan dalam Twitter.

Malah, pada November 2012 Ronaldo melelong trofi Kasut Emas yang dimenangi sebagai Penyerang Terbaik Eropah musim itu untuk disumbangkan kepada Palestin.

Pada Mac 2013, dalam aksi kelayakan Piala Dunia, dia enggan bertukar jersi dengan pemain Israel kerana tidak mahu menyimpan baju yang memaparkan bendera negara itu.

Malahan Ronaldo bukan sahaja kerap menderma kepada Palestin, malah sering memberi sumbangan buat umat Islam di Syria.

Semoga apa yang dilakukan oleh bintang bola sepak ini menjadi ikutan dan tauladan bagi yang lain untuk sama menyumbang.