Sempat Tercapai Hasrat Bertemu Rakan Setugas, Koperal Azmi Meninggal Dunia

Seorang anggota polis yang mengalami penyakit kanser rahang, Koperal Azmi Kamarudin, 34, meninggal dunia hari ini.

Menerusi laporan Kosmo, perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor yang memaklumkan Azmi menghembuskan nafas terakhir pukul 12.18 tengah hari tadi di rumahnya di Taman Bertam Perdana, Kepala Batas di sini.

Menurutnya, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Berpusat Masjid Abdullah Fahim, Permatang Langsat, Kepala Batas di sini selepas solat Asar.

Sebelum ini media melaporkan hasrat Azmi yang menghidap kanser rahang untuk bertemu rakan setugas tercapai selepas menerima kunjungan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah SPU kira-kira 30 minit di rumahnya di Taman Bertam Perdana, Kepala Batas di sini semalam.

Azmi adalah anggota yang pernah bertugas di Bahagian Stor Barang Kes Berpusat di Kepala Batas sebelum ditukarkan ke Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Terdahulu, tular di media sosial foto Allahyaraham di mana beliau memohon untuk berjumpa dengan rakan-rakan yang pernah bekerja dengannya.

“Mohon doakan kesembuhan saudara kita ini. Keadaan terkini bekas anggota IPD SPU. Adalah dimaklumkan bahawa KPL Azmi bin Kamarudin – D9 JSJ IPK Penang (bekas anggota balai polis kepala batas spu) merupakan suami kepada KPL Noor Ifa binti Md Sukari sedang tenat akibat mengidap barah rahang mulut.

“Sdr Azmi ingin berjumpa dengan rakan2 yg pernah bekerja dengan beliau. Beliau sekarang berada di rumah di alamat Taman Bertam Perdana Kepala Batas SPU.

“Pada malam 22.01.21 KPL Ami telah dibawa ke HKB kerana sesak nafas tapi doktor menasihatkan beliau dibawa pulang.

“Pada 23.01.21 jam 3.00 pagi keluarga beliau telah membawa beliau pulang ke rumah.
Kepada sesiapa yg mengenali dan pernah berkerja dengan beliau sudi lah kiranya meluangkan masa untuk melawat beliau dirumahnya.”

Noor Ifa berkata, suaminya memaklumkan mahu berjumpa semula dengan rakan sekerja ketika dia berkhidmat di Balai Polis Kepala Batas dahulu sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Saya hanya memaklumkan secara dalaman, tetapi ia menjadi tular namun reaksi suami apabila menerima kunjungan rakan-rakannya menunjukkan bahawa dia sangat gembira dan mengenali semua yang datang melawatnya.

“Mungkin dia ingin mencari semangat dan doa daripada rakan-rakannya ekoran penyakit yang dialaminya,”