[VIDEO] Kilang Vaksin Covid-19 Terbesar Dunia Terbakar, 5 Orang Maut

Kilang pembuat vaksin terbesar dunia, Institut Serum India, terbakar semalam tetapi ia tidak menjejaskan penghasilan vaksin COVID-19 di premis berkenaan.

Menurut seorang Ketua Pegawai Eksekutif institut berkenaan, lima orang dilaporkan maut setakat ini, ketika kerja memadamkan api masih diteruskan

Siaran televisyen memaparkan asap tebal menjulang ke udara dari tapak institut itu di Pune, barat India.

Institut Serum India menghasilkan jutaan dos vaksin coronavirus Covishield yang dibangunkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford.

“Kebakaran ini tidak akan menjejaskan penghasilan vaksin COVID-19,” kata sumber institut itu kepada AFP, memaklumkan kebakaran itu berlaku di kilang baharu yang masih dalam pembinaan.

Seorang pegawai di balai bomba tempatan memaklumkan kepada AFP, enam atau tujuh jentera dikerahkan ke lokasi kebakaran.

“Kami tiada maklumat lanjut, sama ada berhubung tahap kebakaran atau sekiranya terdapat individu terperangkap,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa India meluluskan dua vaksin, iaitu Covishield yang dihasilkan Institut Serum India serta Covaxin yang dihasilkan firma tempatan, Bharat Biotech.

India memulakan antara pengagihan vaksin terbesar dunia Sabtu lalu, yang menyasarkan 300 juta penduduk negara itu disuntik menjelang Julai depan, menggunakan Covishield dan Covaxin.

Beberapa negara lain turut bergantung pada Institut Serum India selaku pembuat vaksin terbesar dunia dari segi jumlah pengeluaran, untuk membekalkan vaksin kepada mereka.

Institut itu turut merancang membekalkan 200 juta dos kepada COVAX, inisiatif disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendapatkan dan mengagihkan vaksin kepada negara miskin.