Selamba Makan di Restoran, Lelaki ‘Gelang Pink’ Ditahan

Penularan pandemic Covid-19 terus membimbangkan apabila negara kembali mencatat angka yang tinggi setiap hari ketika ini.

Ekoran dari itu, rakyat diseru untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Seorang lelaki bergelang merah jambu makan di restoran

Namun begitu, memetik laporan Harian Metro seorang lelaki bergelang merah jambu ditahan ketika makan di sebuah restoran.

Difahamkan, individu berkenaan melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKKP) Covid-19 di Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini, malam tadi.

Keputusan ujian saringan individu berkenaan masih belum diterima

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, semakan mendapati lelaki berusia 52 tahun itu mendapat arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalani kuarantin di rumah bermula semalam sehingga 16 Oktober ini.

“Lelaki itu sudah menjalani ujian saringan Covid-19 selepas tiba dengan satu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan keputusan ujian masih belum diterima”.

Individu tersebut telah ditahan 

“Polis menahan dia kerana melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan penyakit Covid-19 mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, proses reman terhadapnya akan dijalankan hari ini dan ia akan dibuat di sebuah bilik khas yang disediakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Kesalahan merebak penyakit dan bahayakan nyawa

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa”.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988/ Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (No 8) 2020,” katanya.

Tindakan tegas jika didapati langgar perintah kuarantin

Ujarnya lagi, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar perintah kuarantin.

Terdahulu, tular beberapa gambar, semalam menunjukkan sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas suspek di hadapan sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri.

Diharap semua rakyat Malaysia memberikan kerjasama supaya kita dapat mencegah penularan pandemic Covid-19 ini.