Balu Arwah Abam Menang Saman Fitnah Ali Puteh, Ini Jumlah Tuntutan Yang Perlu Dibayar

Akhirnya selepas hampir dua tahun turun naik mahkamah, balu Allahyarham Abam iaitu Nor Hidayah Mohd Ali menang dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap adik iparnya, Ali Puteh.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan pada pagi Jumaat.

“Doakan yang baik-baik untuk saya dan anak saya. Saya dah rasa lega dah,” demikian kata balu arwah Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali ringkas kepada media usai prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Nor Hidayah, 33, diminta mengulas mengenai kemenangannya berhubung kes saman fitnah terhadap adik iparnya, Syed Ali Puteh yang difailkan dua tahun lepas.

Sementara itu, kata peguam yang mewakili Nor Hidayah, Mohamed Ibrahim Mohamad, kemenangan itu sekali gus telah membersihkan nama serta reputasi keluarga Hidayah.

“Alhamdulillah mahkamah hari ini memberikan keputusan yang mana ia berpihak kepada anak guam kami.

“Tuntutan keluarga arwah Abam dan Ali terhadap anak guam saya, Nor Hidayah telah ditolak dengan kos.

“Manakala, tuntutan kami terhadap Ali telah dibenarkan dengan kos juga, ganti rugi RM60,000 telah dipersetujui oleh mahkamah untuk dibayar kepada Hidayah.

“Kami percaya keputusan ini telah membersihkan kata-kata negatif yang dilemparkan kepada anak guam kami dan berharap selepas ini tiada lagi.

“Sebelum ini ada kenyataan dibuat seolah-olah ada pihak dianiaya oleh anak guam kami tapi hari ini mahkamah telah menjelaskan bahawa tiada berlaku sebarang penganiayaan, sebaliknya yang dianiaya adalah anak guam kami,” katanya.

Kontroversi mula tercetus apabila Nor Hidayah memfailkan saman terhadapnya sekeluarga dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000.

Saman yang dibuat Nor Hidayah itu antaranya menuduh Ali mengambil harta Abam Bocey dan harta anak yatim.

Antara tuduhan lain yang difailkan terhadapnya dan keluarga adalah tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya.

Pada 27 Ogos 2020, Ali memfailkan saman terhadap Nor Hidayah dan jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan disahkan meninggal dunia pada 10 Februari 2020.

Nor Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam pada 8 Disember 2017.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia tiga tahun.