Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri mencabar agensi berita antarabangsa, Aljazeera untuk menyenaraikan negara yang memberi kebebasan mutlak kepada warga asing.

“Kita boleh tanya Aljazeera ini, berikan kita nama mana-mana negara dalam dunia ini membenarkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau dokumen tidak sah boleh bebas di negara mereka.

“Saya cabar Aljazeera tunjukkan negara mana yang memberikan kebebasan mutlak kepada warga asing yang tidak berdokumen. Jawapannya setahu saya, tidak ada,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata demikian dalam mengulas isu sebuah dokumentari terbitan Aljazeera yang membuat tuduhan kerajaan Malaysia bertindak tidak berperikemanusiaan ke atas migran dan pendatang asing tanpa izin (PATI) sepanjang tempoh PKP sebelum ini.

“Dan tuduhan yang mengatakan kita mengurung secara tidak adil PATI tersebut adalah tidak benar, kerana bukan setakat PATI yang dikurung malah PKPD di kawasan lain, termasuk di pusat tahfiz, beberapa perkampungan di Hulu Langat dikurung juga.

“…dan setiap individu yang berada dalam kurungan PKPD dibuat saringan termasuk PATI juga disaring, kerajaan menanggung kos saringan terhadap mereka.

“Jadi tidak betul kalau kita katakan bahawa satu layanan yang tidak adil dibuat kepada mereka kerana mereka dikurung, kerana polisi dan SOP ini kepada sesiapa sahaja termasuk rakyat Malaysia,” tegasnya.

Selain itu, dokumentari tersebut turut menuduh kerajaan melaksanakan arahan PKP berunsurkan perkauman.

“Menuduh tindakan kita bersifat perkauman ataupun rasis juga tidak benar, apa yang dilakukan adalah berdasarkan undang-undang.

“Pihak Imigresen menggunakan Akta Imigresen untuk menangkap dan menahan mereka yang tidak mempunyai dokumen yang sah di dalam negara kita ataupun yang langsung tidak mempunyai dokumen,” jelasnya lagi.


Justeru, Aljazeera dituntut untuk membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas isu kontroversi tersebut.

"Your favorite story, whatever it might be, was written for one reader." Brian Bloom, 5 to 7.