Rayhan Kabir Dikehendaki Jabatan Imigresen Malaysia

Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) memohon bantuan orang awam menjejaki seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Md Rayhan Kabir bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Imigresen dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan lelaki berusia 25 tahun itu menggunakan pasport bernombor BW0974403 dengan alamat terakhir di Sirhan Legacy Sdn Bhd B-7-9, Menara Uncang Emas, No 85 Jalan Loke Yew 55200, Kuala Lumpur.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh hubungi Penolong Pengarah Imigresen (PPI), Nurulmasha Nazlinan Hussin.

“Mereka juga boleh hubungi Bahagian Operasi Siasatan Pendakwaan, Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya menerusi talian 03-88801298/1294 pada waktu pejabat dan 03-88801555 selepas waktu pejabat,” katanya.

Lelaki terbabit sebelum ini dikesan membuat pelbagai dakwaan palsu berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara ini menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan COVID-19.

Dia melemparkan tohmahan dan dakwaan tidak berasas itu menerusi kenyataan diberikannya kepada stesen televisyen antarabangsa, Al Jazeera, yang membuat laporan khas berhubung pendatang tanpa izin di negara ini.

Polis juga dilaporkan memulakan siasatan terhadap Al Jazeera susulan penyiaran dokumentari itu yang antara lain mendakwa layan buruk Malaysia terhadap warga asing ketika berusaha mengekang penularan COVID-19 menerusi langkah PKP.

KENYATAAN MEDIA JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

16 ZULKAEDAH 1441H / 07 JULAI 2020

ORANG DIKEHENDAKI JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memohon orang ramai membantu memberikan maklumat seorang lelaki warganegara Bangladesh bernama MD RAYHAN KABIR, nombor pasport BW0974403 berumur 25 tahun dan alamat terakhir beliau adalah SIRHAN LEGACY SDN BHD B-7-9 MENARA UNCANG EMAS, NO 85 JALAN LOKE YEW 55200, KUALA LUMPUR bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dipohon supaya dapat menghubungi terus Penolong Pengarah Imigresen (PPI) Nurulmasha Nazlinan Bin Hussin, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di talian 03-88801298 / 1294 pada waktu pejabat dan Bilik Gerakan 03-88801555 selepas waktu pejabat.