“Saya bangga rakyat Malaysia rajin” PM Sanggup Naik Turun Tangga Dengar Masalah Rakyat

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur pagi tadi.

Perdana Menteri ziarah penghuni PPR

Beliau yang prihatin mengenai miskin bandar turut berkesempatan menziarah tiga penghuni PPR di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketika lawatan itu, beliau mendekati rakyat dengan mendengar luahan mereka bagi memastikan golongan tersebut tidak ketinggalan dalam arus pembangunan daripada aspek ekonomi, pendidikan atau sosial.

Menambah baik pusat komuniti setempat

“Antaranya dengan menambah baik pusat-pusat komuniti setempat dengan aktiviti menambah kemahiran, keusahawanan dan memperkasakan pendidikan anak-anak mereka untuk menjamin kesejahteraan pada masa depan,” katanya.

Disamping itu, presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu juga percaya pelbagai inisiatif dilakukan oleh kementerian dan agensi-agensi kerajaan bagi membantu golongan berkenaan.

Kagum dengan ketabahan Encik Rosali menyara keluarga

“Dalam lawatan tersebut saya sempat menziarah penghuni tiga unit PPR di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)”.

“Mereka adalah dua orang warga emas berusia 78 tahun, Puan Chan Kam dan Puan Danalachimi a/p Baboo Naidu serta pasangan suami isteri OKU, Encik Rosali bin Md Nasid dan Puan Artinie binti Besah”.

“Saya kagum dengan ketabahan dan kegigihan Encik Rosali menyara isteri dan dua anaknya”.

Cacat kedua tangan dan guna kaki palsu cari pendapatan dengan buka kedai jahit

“Beliau yang cacat kedua-dua tangan dan menggunakan kaki kanan palsu, mencari pendapatan dengan membuka kedai jahit. Beliau adalah penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC)”.

“Pada pertemuan tersebut, Encik Rosali menyuarakan tentang kesukaran mendapatkan dana untuk modal berniaga”.

Mohon inisiatif di bawah seliaan kerajaan

“Beliau ada memohon beberapa inisiatif di bawah seliaan Kerajaan. Namun setakat ini beliau masih belum mendapat apa-apa bantuan bagi mengembangkan perniagaan beliau”.

“Saya telah meminta pihak JKM agar dapat membantu beliau”.

Mereka menerima bantuan kerajaan

“Saya juga berkesempatan bertemu dengan Puan Chan Kam yang tinggal bersama anak lelaki OKU dan Puan Danalachimi yang tinggal bersendirian”.

“Saya diberitau mereka ini tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan. Mereka juga dibantu oleh sukarelawan yang datang seminggu sekali membelikan barang keperluan dan membersihkan rumah”.

“Saya juga telah diberitahu terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut bersama agensi-agensi kerajaan memberi pertolongan dan sokongan. Syabas dan terima kasih”.

Warga emas berkenaan berada di bawah pemerhatian JKM

“Kedua-dua warga emas itu bukan sahaja menerima Bantuan Prihatin, malah berada di bawah pemerhatian JKM yang menyalurkan Bantuan Orang Tua (BOT). Anak Puan Chan Kam juga menerima Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB)”.

“Saya juga berkesempatan singgah bersarapan di gerai Che Nah di medan selera dan beramah mesra dengan penduduk PPR di situ. Banyak cerita dan luahan yang saya dengar daripada mereka”.

“Lawatan ini banyak memberi maklumat kepada saya mengenai kehidupan warga kota atau golongan miskin bandar”.

Ramai yang bisnes kecil-kecilan untuk kehidupan yang lebih baik

“Kebanyakan mereka membuat bisnes kecil-kecilan, bekerja sebagai pemandu teksi dan lori serta ramai juga yang membuat kerja sendiri untuk meneruskan kehidupan mereka”.

“Saya yakin, kesemua mereka menginginkan kehidupan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai kekangan yang terpaksa mereka lalui”.

Saya bangga kerana ramai rakyat Malaysia rajin

“Realitinya, saya bangga kerana ramai rakyat Malaysia yang rajin dan bersungguh-sungguh berusaha membina kehidupan yang lebih baik”.

“Ada antara mereka melakukan dua tiga kerja sehari bagi menambah pendapatan keluarga. Ada yang memandu teksi dan Grab”.

Ada yang buat kerja sambilan di luar waktu kerja

“Ada yang menghantar makanan. Ada juga membuat kerja sambilan di luar waktu bekerja mereka”.

“Saya akan berusaha untuk memastikan mereka ini tidak dipinggirkan malah perlu lagi dibantu”.

“Kerajaan akan sentiasa meletakkan agenda membantu rakyat sebagai keutamaan dan akan terus mencari pelbagai kaedah bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan ini. Sama-sama kita berusaha untuk membina Malaysia yang lebih baik”.